Letak jawatan MPP: Chean Chung perlu jelaskan kepada anggota parti
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Ahli Parlimen Petaling Jaya daripada KEADILAN, Lee Chean Chung perlu menjelaskan kepada anggota parti yang mengundinya dalam pemilihan 2025 berhubung keputusannya meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata beliau mengenali Chean Chung sejak sekian lama dan mengikuti perjalanan politiknya sejak berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Parlimen.
Menurut Fahmi, beliau tidak melihat sebarang perubahan ketara daripada segi landasan dan perjuangan parti sejak tempoh itu sehingga hari ini.
"Beliau telah dipilih oleh anggota dalam pemilihan parti pada 2025. Saya cuma kesal beliau tidak bersama untuk menyampaikan (mungkin) pandangan.
"Saya bagi contoh dalam MPP KEADILAN, ada ramai pimpinan yang sering kali tidak mempunyai pandangan yang sama, salah seorang (ialah) sahabat lama saya, saudari Elizabeth Wong.
"Dalam mesyuarat MPP, beliau sering kali menyatakan pandangan yang jauh berbeza daripada pandangan Datuk Seri Presiden (Anwar) atau (pimpinan) yang lain tetapi platform itulah yang beliau gunakan untuk memastikan parti kekal di landasan yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Chean Chung sepatutnya melakukan perkara yang sama seperti Elizabeth dengan menggunakan platform MPP untuk menyuarakan pandangan dan pendiriannya.
Namun, ujarnya perkara itu tidak berlaku dan beliau kesal dengan tindakan Chean Chung kerana beliau telah dipilih oleh anggota parti dalam pemilihan lalu.
Justeru kata Fahmi, beliau perlu menjelaskan keputusannya kepada anggota yang telah memberikan mandat tersebut.
Terdahulu, Chean Chung menerusi hantaran di Facebook berkata, keputusan itu dibuat selepas 18 tahun menyertai KEADILAN dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat parti.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masih kekal sebagai ahli parti selain akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.




Comments