Program pidato ‘Aspirasi Generasi MADANI’ serlah bakat pelajar Segamat
- Redzuan Shamsudin
- 2 minutes ago
- 1 min read

Pertandingan Pidato Piala YB Yunes “Aspirasi Generasi MADANI” berjaya dianjurkan buat julung kali di Segamat Central Shopping Mall dengan penyertaan 26 pelajar sekolah menengah dari seluruh daerah ini.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Segamat itu menghimpunkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 untuk menyampaikan pidato berkisar perpaduan, nilai Malaysia MADANI dan masa depan negara.
"Saya cukup kagum melihat bakat anak-anak muda Segamat. Ada yang membuat persiapan dalam tempoh singkat, tetapi tetap mampu berdiri yakin di pentas dengan hujah yang tersusun dan penyampaian yang menyerlah," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada lima pemidato terbaik, khususnya Nurul Herlysha Taha dari SMK Dato Bentara Dalam yang muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM500.
"Sebagai penghargaan, saya turut mengumumkan sumbangan RM100 kepada semua 26 pemidato yang terlibat," ujarnya.
Menurut beliau, semua peserta juga akan diberikan peluang menyertai bengkel kepimpinan selama dua hari satu malam dengan tajaan penuh bagi memperkukuh keyakinan dan potensi kepimpinan mereka.
Tambahnya, maklum balas daripada warga pendidik dan pelajar amat menggalakkan, sekali gus membuktikan keperluan program seumpama itu diteruskan pada masa akan datang.
"Saya telah lama merancang pertandingan seperti ini dan bersyukur ia akhirnya dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk pusat beli-belah Segamat Central, Pejabat Pendidikan Daerah Segamat, guru, ibu bapa dan pelajar.
"Konsistensi saya dalam memperkukuh pendidikan dan potensi pelajar Segamat tidak akan pudar. Dengan sambutan yang begitu baik, pertandingan ini pasti akan dianjurkan lagi dengan lebih hebat selepas ini," katanya.
