Kerajaan turunkan harga diesel bersubsidi RM2.10 mulai Julai 2026
- Redzuan Shamsudin

- 4 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Madani mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter berkuat kuasa Julai 2026, sebagai sebahagian daripada pembaharuan penyasaran subsidi bahan api.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di Bintulu, Sarawak hari ini dijangka bakal mengurangkan beban pembelian bahan api kepada pemilik kenderaan berenjin diesel.
"Kerajaan Madani akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 mulai Julai 2026," kata kenyataan tersebut.
Penurunan harga itu akan dilaksanakan melalui mekanisme penyasaran subsidi berasaskan MyKad, sebagaimana pendekatan yang digunakan dalam subsidi petrol bersasar sebelum ini.
"Rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara. Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat melalui pengesahan MyKad manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak, perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi," katanya.
Menurut kementerian, langkah itu diambil bagi menangani isu ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi yang berpunca daripada jurang harga yang ketara antara harga bersubsidi dan tanpa subsidi terutama di Sabah dan Sarawak.
"Dalam keadaan krisis Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, langkah ini penting bagi memastikan subsidi kerajaan hanya sampai kepada rakyat Malaysia serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi," ujarnya.
Ketika ini, harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak adalah RM2.15 seliter, manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia mencecah RM4.37 seliter.
Dengan pelaksanaan penyasaran subsidi ini, harga diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan Semenanjung Malaysia, sekali gus menamatkan akses subsidi kepada bukan warganegara di Malaysia Timur.
Kementerian menjelaskan, pembaharuan ini bertujuan memastikan penggunaan subsidi lebih cekap, mengurangkan ketirisan serta menjamin kebajikan rakyat terus terpelihara.




Comments