top of page

Kerajaan Perpaduan dibina atas keberanian politik, mencabar, perlu kesabaran

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 44 minutes ago
  • 2 min read

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) menegaskan pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan keberanian politik serta kesediaan semua pihak untuk terus mempertahankan kerjasama yang telah dibina sejak lebih tiga tahun lalu.


Menurut beliau, usaha membentuk perpaduan jauh lebih sukar berbanding melakukan perpecahan, namun kestabilan yang terhasil membolehkan kerajaan terus mentadbir negara dalam suasana lebih harmoni.


"Kita sudah lebih tiga tahun, lebih kurang tiga tahun setengah membentuk kerajaan dan kerajaan kita dipanggil Kerajaan Perpaduan.


"Memang nak berpadu payah, nak berpisah senang," katanya pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.


Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengakui setiap pemimpin mempunyai kelemahan tersendiri, namun menegaskan kelebihan dimiliki Perdana Menteri jauh lebih besar dan menjadi antara faktor utama beliau terus memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan ketika ini.


"Tapi saya yang biasa menjadi penentang kepada beliau, biasa berkawan, saya nampak memang ada kelemahan ada. Tapi markah kelebihan terlalu tinggi," kata Mohamad yang juga Menteri Pertanain dan Industri Asas Tani.


Ahli Parlimen Kota Raja itu menyifatkan kepimpinan yang berani membuat keputusan penting amat diperlukan bagi memastikan kerajaan terus kukuh dan mampu mendepani cabaran politik semasa.


Tambah Mohamad, proses pentadbiran Kerajaan Perpaduan turut melibatkan pelbagai rundingan serta penyaluran bantuan Kerajaan Negeri yang dilaksanakan secara berperingkat melalui saluran yang ditetapkan tanpa diskriminasi.


"Untuk bantuan Kerajaan Negeri, di negeri SG4, kerajaan ini tak kisah, dia terus bergerak. Lepas satu jam mesyuarat pun boleh terus jalankan program," katanya.


Menurut beliau, terdapat juga usaha berterusan dalam kalangan pemimpin untuk memastikan peruntukan dan projek pembangunan dilaksanakan secara adil mengikut saluran demokrasi serta peruntukan Perlembagaan.


"Perdana Menteri kita memberi mengikut saluran demokrasi dan peruntukan Perlembagaan tanpa diskriminasi," katanya.


Mohamad turut menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan ketelusan maklumat ekonomi kepada rakyat, termasuk melalui sesi penerangan berkala yang memberi gambaran sebenar keadaan kewangan dan dasar kerajaan.


"Tiap-tiap minggu, Majlis Tindakan Ekonomi Negara memberi maklumat kepada kita… kita lihat keadaan kewangan, kita laporkan terus kepada rakyat.


"Contohnya minggu ini ada harga naik, minggu depan turun, semua diberi kepada rakyat," katanya.


Beliau berkata pendekatan terbuka itu penting supaya rakyat memahami situasi sebenar negara dan tidak timbul salah faham terhadap dasar kerajaan.


Dalam pada itu, Mohamad menegaskan Kerajaan Perpaduan akan terus memperkukuh dasar berkaitan kesejahteraan rakyat termasuk isu jaminan makanan dan pembangunan negeri seperti Johor yang menjadi sebahagian fokus pentadbiran.


Beliau turut menambah bahawa sekiranya terdapat sebarang isu berkaitan kelulusan peruntukan, Kerajaan Negeri akan terus mengemukakan permohonan melalui saluran yang betul kepada Kementerian Kewangan.


"Bahkan kita akan mohon kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri. Kalau tak lulus di peringkat kementerian, kita akan bawa kepada Perdana Menteri," kata Mohamad berseloroh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page