PH Johor bangkit semula rampas negeri dalam PRN - Aminolhuda
- Hasbul Ahmad

- 16 minutes ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) Johor yakin mampu kembali menguasai negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang meskipun berdepan cabaran daripada Barisan Nasional (BN) yang telah mengumumkan hasrat bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan (gambar) yang mewakili Pakatan Harapan Johor berkata perjuangan gabungan itu tidak akan berundur sebelum bertanding dan menolak sebarang sikap menyerah kalah lebih awal.
"Takkanlah kita terus kata tak apa? Boleh kita menyerah kalah sebelum berjuang?
"Tidak mungkin sebagai seorang pejuang mengaku kalah sebelum bertempur," katanya dalam ucapan di Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor, hari ini.
Beliau berkata BN bimbang terhadap kebangkitan semula PH berdasarkan pengalaman Pilihan Raya Umum 2018 yang menyaksikan mereka mengalami kekalahan besar di Johor.
Menurut rekod PH pernah mencipta sejarah besar di Johor apabila berjaya memenangi 38 kerusi DUN dan membentuk kerajaan negeri sebelum ini.
Beliau turut mengulas tindakan melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menunjukkan kerajaan negeri tidak berani melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihanraya meskipun terdapat beberapa DUN yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 orang.
"Kalau dipecahkan kawasan seperti Kota Iskandar, boleh dapat beberapa DUN baharu.
"Tetapi mereka tidak mahu buat persempadanan semula kerana tahu kawasan bandar yang besar ini merupakan kubu kuat PH," katanya.
Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, Johor sebenarnya mempunyai sokongan besar terhadap PH apabila 14 kerusi Parlimen di negeri itu kini dikuasai gabungan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pimpinan PH supaya mengambil iktibar daripada pengalaman mentadbir kerajaan selama 22 bulan yang menurutnya berakhir akibat pengkhianatan politik.
Mengulas pembangunan Johor, Aminolhuda menegaskan banyak projek besar di negeri itu digerakkan hasil kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara yang disebut termasuk projek pelebaran lebuh raya bernilai lebih RM400 juta serta pembangunan rangkaian perkhidmatan ETS yang disifatkan mampu merancakkan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.
Ujarnya lagi, pembangunan pesat Johor tidak boleh dipisahkan daripada sokongan Kerajaan Persekutuan yang komited memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara terus terpelihara.




Comments