Projek pengangkutan pemacu kemajuan Johor dijayakan oleh Menteri PH
- Redzuan Shamsudin

- 20 minutes ago
- 2 min read

Pencapaian dan perkembangan pesat Johor dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini tidak boleh disandarkan kepada Kerajaan Negeri semata-mata, sebaliknya didorong oleh pelaksanaan pelbagai projek strategik Kerajaan Persekutuan khususnya dalam sektor pengangkutan.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke siew Fook (gambar), faktor utama kemajuan negeri itu adalah peningkatan kesalinghubungan antara Johor dan Singapura melalui projek-projek besar di bawah Kementerian Pengangkutan.
"Johor berkembang pesat tiga tahun ini tetapi apa faktor besar? Faktornya ialah beberapa projek Kerajaan Persekutuan terutama dalam sektor pengangkutan yang meningkatkan kesalinghubungan antara Johor dan Singapura," katanya dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026, petang ini.
Kata Anthony Loke, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link merupakan antara pemangkin utama pembangunan Johor ketika ini dan ianya disiapkan oleh Kerajaan Madani yang mana Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutannya dari PH.
"Projek RTS Link kini hampir 90 peratus siap dan dijangka mula beroperasi Januari tahun hadapan, menghubungkan Johor Bahru dan Singapura," jelas Ahli Parlimen Seremban itu.
Beliau mengakui projek tersebut bermula pada era BN 2018, namun berdepan pelbagai masalah termasuk isu tanah dan kontraktor.
"Apabila kita ambil alih kerajaan pusat pada 2022, banyak masalah belum selesai dan projek hampir terbengkalai. Selama kita di Putrajaya, projek ini di bawah Kementerian Pengangkutan dan kita berterima kasih kepada PM kerana memberi sokongan penuh kepada projek ini," ujarnya.
Tambah beliau, RTS Link bakal menjadi model pengangkutan awam paling moden di Malaysia dengan penggunaan teknologi seperti kod QR tanpa pasport serta kemudahan pelepasan imigresen sekali sahaja (CIQ).
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa projek landasan berkembar Gemas ke Johor Bahru yang mengambil masa lebih 10 tahun juga berjaya disiapkan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
"Sekarang dari Padang Besar (Perlis) boleh terus menggunakan ETS ke Johor Bahru melalui landasan berkembar sepanjang 192 kilometer. Projek ini ambil masa lebih 10 tahun. Di bawah Kerajaan Madani projek ini disiapkan," katanya.
Selain itu, projek landasan kereta api dari Kempas Baru ke Pasir Gudang yang berdepan pelbagai masalah turut berjaya disiapkan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan lori kontena untuk menghantar produk industri ke pelabuhan.
Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan telah melaksanakan inisiatif perkhidmatan bas henti-henti bersepadu dikenali sebagai Bas.My di seluruh negara, termasuk di Johor Bahru. Malah perkhidmatan bersepadu tersebut juga diperkenalkan di negeri pembangkang SG4.
"Ini kali pertama dalam sejarah negara kita melaksanakan sistem bas bersepadu di setiap ibu negeri. Kita bukan hanya fokus Johor, tetapi seluruh negara," katanya.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata kerajaan telahpun meluluskan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Johor Bahru bernilai lebih RM10 bilion.
"Baru baru ini dalam kabinet kerajaan luluskan projek LRT untuk JB lebih RM10 bilion.
"Sebelum LRT siap kita akan tambah bas di JB, kita akan perkenalkan perkhidmatan KTM komuter antara Kluang sampai JB. Ssemua ini adalah usaha dan sumbangan kita untuk memajukan Johor," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa jentera parti agar menyampaikan fakta sebenar kepada rakyat mengenai sumbangan kerajaan dalam memajukan Johor.




Comments