'Setia kepada prinsip perjuangan, jangan leka dengan kuasa'
- Hasbul Ahmad

- 14 minutes ago
- 2 min read

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim (gambar) mengingatkan seluruh jentera Pakatan Harapan (PH) supaya terus berpegang kepada prinsip perjuangan dan tidak berubah hanya kerana kini berada dalam kerajaan.
Berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 pagi ini, Adam berkata selepas hampir empat tahun mentadbir kerajaan Persekutuan, PH kini berada dalam fasa yang lebih mencabar apabila perlu membuktikan kematangan, kesabaran dan kesetiaan terhadap perjuangan asal parti.
"Kita hari ini berada dalam satu waktu yang menuntut kita untuk jadi lebih matang, lebih sabar dan terus setia kepada perjuangan asal kita. Apakah sikap kita telah berubah kerana kita diberi kuasa?" katanya.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menggunakan analogi pelayaran kapal di tengah lautan bagi menggambarkan cabaran yang sedang dihadapi PH ketika ini menjelaskan bahawa cabaran sebenar bukan ketika perjuangan baru bermula, sebaliknya ketika berdepan ribut, tekanan dan keletihan sepanjang perjalanan.
"Ketika ribut datang tanpa henti, ketika ada anak kapal mula penat dan mula bertanya sama ada arah yang dibawa betul atau tidak, waktu itulah pentingnya nakhoda yang baik dan anak kapal yang tidak berpecah," katanya.
Ujar Adam, PH tidak boleh melupakan akar perjuangan yang dibina bersama rakyat biasa sejak sekian lama, termasuk golongan sukarelawan dan penyokong akar umbi yang terus bekerja tanpa mengharapkan jawatan atau kepentingan peribadi.
Katanya, kekuatan PH selama ini terletak pada keyakinan rakyat bahawa gabungan itu mampu mentadbir dengan amanah serta tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan sendiri.
"Ini Pakatan Harapan, bukan duduk di atas untuk kaut semua kekayaan negara atau susun projek untuk kepentingan sendiri. Kita berada di atas untuk memastikan rakyat terus terbela dan amanah rakyat dijaga," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak terlalu terpengaruh dengan budaya media sosial yang sering dipenuhi kecaman dan persepsi negatif.
Sebaliknya, katanya, rakyat lebih menilai sikap dan kerja lapangan yang dilakukan oleh pimpinan serta anggota parti di peringkat akar umbi.
"Hari ini orang mungkin hina kita di media sosial, tetapi kalau kita buat kerja dengan baik dan tunjuk sikap yang betul, rakyat akan tetap nampak usaha itu," ujarnya.
Adam turut menyeru seluruh anggota parti supaya terus bekerja sebagai satu pasukan dan tidak berpecah hanya kerana keletihan atau perbezaan pandangan.
"Jangan kerana kita penat, kita mengalah. Jangan kerana ada perbezaan, kita mula berpecah. Wakil rakyat boleh bertukar, pemimpin boleh bertukar, tetapi harapan rakyat itu mesti dikekalkan," katanya.




Comments