Siasat gerakan politik terima dana asing, mencatur demonstrasi, media sosial
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia memandang serius pendedahan berhubung dakwaan penyaluran dana asing kepada individu, ahli politik serta pertubuhan tertentu yang dikaitkan dengan aktiviti propaganda politik dan operasi siber.
Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata, isu tersebut tidak boleh dianggap sebagai polemik politik semata-mata kerana ia menyentuh soal keselamatan dan kedaulatan negara.
"Mana-mana gerakan yang menerima dan menyalahguna pembiayaan luar untuk mencatur naratif politik domestik secara tersusun perlu disiasat secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dakwaan melibatkan penyaluran dana melalui The Tides Foundation kepada syarikat tempatan yang berkaitan aktivisme politik melalui beberapa transaksi bernilai keseluruhan lebih RM1.5 juta membabitkan tiga transaksi bertarikh pada 27 November 2024 berjumlah RM 233,322.20, pada 12 Mac 2025 berjumlah RM 658,555.00 dan pada 6 Jun 2025 berjumlah RM 628,270.00 perlu disiasat secara menyeluruh dan telus.
"Dana tersebut turut didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan politik pihak tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi tujuan membina persepsi dan naratif kebencian terhadap kerajaan seterusnya menggugat kestabilan politik negara. Sekiranya dakwaan ini benar, maka perkara ini adalah sesuatu yang amat berbahaya," tegasnya.
Menurut beliau, sekiranya dakwaan tersebut benar, ia merupakan ancaman serius terhadap kestabilan politik dan kedaulatan negara.
"Malaysia tidak boleh sesekali menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing yang mahu mencatur landskap politik negara melalui proksi tempatan.
"Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara," katanya.
Sehubungan itu, AMK menggesa beberapa agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia serta agensi keselamatan lain menjalankan siasatan terperinci.
"Sebarang pelanggaran undang-undang perlu diambil tindakan tegas di bawah peruntukan sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, AMLA dan Akta Pertubuhan 1966 sekiranya terdapat unsur ancaman terhadap keselamatan negara, pengubahan wang haram atau penyalahgunaan dana asing untuk tujuan politik yang menyalahi undang-undang," katanya.
Dalam masa sama, Kamil menegaskan bahawa alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menyalahgunakan dana asing bagi tujuan politik.
"Malaysia sedang berdepan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar. Dalam keadaan ini, negara memerlukan kestabilan politik dan keyakinan institusi yang kukuh.
"Sebarang usaha bagi tujuan menggugat kestabilan negara melalui pembiayaan asing dan manipulasi politik secara tersusun mesti dihentikan segera sebelum ia menjadi ancaman yang lebih besar kepada masa depan negara," katanya.
Tambah beliau, rakyat berhak mendapat penjelasan tuntas dan tindakan penguatkuasaan tegas bagi memastikan kedaulatan negara tidak dipersendakan oleh mana-mana pihak.




Comments