Kerajaan Negeri komited tangani gejala 'sindrom gajet' - MB Amirudin
- Suara Keadilan

- Apr 28
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor komited mencari jalan untuk menangani gejala penggunaan peranti digital secara berlebihan atau ‘sindrom gajet’ yang semakin meningkat dan membimbangkan, khususnya melibatkan kanak-kanak dan pelajar.
Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amiruddin Shari (gambar) berkata, sehubungan itu Kerajaan Negeri bakal mengadakan pertemuan dengan pengusaha pusat asuhan bagi membincangkan isu penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak.
"Perbincangan ini penting memandangkan ada pengusaha pusat asuhan memberikan gajet untuk mendiamkan dan menenangkan anak-anak.
"Jadi dalam menangani isu yang semakin membimbangkan ini, ia sememangnya memerlukan tindakan menyeluruh di kalangan guru dan sebagainya," katanya dipetik pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Isnin.
Amirudin sementara itu turut menegaskan bahawa isu berkaitan kesihatan mental dan ketagihan gajet dalam kalangan pelajar diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Pendidikan.
Kerajaan Negeri juga menjalin bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menangani isu ketagihan gajet sekaligus memberi kefahaman mengenai risiko dalam talian menerusi menerusi program Kempen Internet Selamat yang dianjurkan.
"Program ini memberi penekanan kepada keselamatan digital, termasuk perlindungan data peribadi, etika penggunaan internet dan peningkatan kefahaman risiko dalam talian.
"Sepanjang 2025, program ini telah dilaksanakan di 811 buah sekolah, program serupa turut dijadualkan di 133 sekolah lagi pada tahun ini.
"Menerusi program ini, pelajar juga dilantik sebagai ejen penyebaran maklumat bagi memupuk budaya penggunaan internet yang lebih selamat dan bertanggungjawab," tambahnya.




Comments