Kerajaan Madani bawa rawatan jantung invasif ke Hospital Seberang Jaya


Pembukaan perkhidmatan angiogram dan angioplasti koronari di Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang menjadi pencapaian penting sektor kesihatan awam apabila hospital Level 2 pertama di Semenanjung Malaysia itu kini mampu menawarkan rawatan jantung invasif kepada pesakit dewasa.
Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Abshar Nurasyraf Amram berkata, pembukaan perkhidmatan itu membawa makna besar kepada ribuan penduduk Seberang Perai dan kawasan sekitarnya yang memerlukan akses kepada rawatan pakar jantung.
Sebagai permulaan ujarnya, seramai lapan pesakit telah menerima rawatan termasuk empat pesakit yang menjalani prosedur angioplasti koronari.
"Saya berpandangan bahawa peluasan perkhidmatan ini merupakan satu langkah strategik yang tepat pada masanya, mengambil kira peningkatan risiko penyakit kardiovaskular serta keperluan terhadap rawatan jantung yang lebih pantas dan menyeluruh di Pulau Pinang khususnya, bahkan di utara di tanah air.
"Antara manfaat paling besar daripada inisiatif ini ialah keupayaan untuk mengurangkan kebergantungan pesakit dari Seberang Perai terhadap Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan prosedur diagnostik dan intervensi jantung tertentu.
"Secara langsung, perkembangan ini berpotensi memendekkan tempoh menunggu, mengurangkan kesesakan di hospital serta memastikan pesakit memperoleh rawatan kepakaran dengan lebih dekat, efektif dalam tempoh yang sewajarnya," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Abshar berkata pihaknya juga menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperkukuh kapasiti sistem kesihatan negara serta memastikan perkhidmatan perubatan berkualiti dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Beliau yang juga Setiausaha AMK Pulau Pinang berkata, perancangan dalam usaha untuk memperluas perkhidmatan kardiologi di HSJ termasuk rawatan gangguan rentak jantung, pemasangan perentak jantung dan hasrat ke arah pembangunan perkhidmatan pembedahan kardiotorasik menjelang 2027, merupakan hala tuju yang wajar diberikan perhatian dan sokongan.
Selain itu ujarnya, segala perancangan diharap dapat direalisasikan secara berperingkat dengan mengambil kira kesiapsiagaan infrastruktur, peralatan serta keperluan tenaga pakar yang mencukupi.
"AMK Pulau Pinang percaya bahawa akses kepada kesihatan yang berkualiti merupakan hak dan keperluan asas rakyat, tanpa mengira latar belakang mahupun kedudukan ekonomi.
"Oleh itu, usaha memperkukuh hospital kerajaan dan memperluas perkhidmatan kepakaran perlu terus menjadi antara keutamaan pembangunan negeri dan negara.
"Akhir sekali, tahniah sekali lagi kepada seluruh warga HSJ atas kejayaan bersejarah ini. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kemajuan dalam sektor kesihatan awam di Pulau Pinang, demi memastikan rakyat mendapat rawatan yang lebih mudah, cepat, berkualiti dan selamat," kata beliau yang juga Ketua AMK Bukit Mertajam.




Comments