Demokrasi Sarawak milik semua, parti nasional berhak berkempen – Roland Engan


Parti politik nasional berhak membawa pemimpin mereka dari seluruh negara ke Sarawak bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 tanpa hak demokrasi itu dipersoalkan atau disekat.
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan berkata, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan, semua parti politik bebas menyusun dan melaksanakan gerak kerja masing-masing bagi menghadapi pilihanraya berkenaan.
Menurutnya, kerajaan Sarawak sedia ada kini berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas pilihanraya, justeru semua parti perlu diberikan ruang yang adil untuk menjalankan aktiviti politik mengikut lunas demokrasi dan undang-undang.
"Parti politik nasional sememangnya berhak menjemput pemimpin dan pimpinan parti dari seluruh negara untuk datang ke Sarawak bagi membantu kempen pilihanraya. Hak ini tidak sepatutnya dipersoalkan atau cuba disekat," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, perbezaan perlu dibuat antara parti politik nasional yang mempunyai jaringan, kepimpinan dan tanggungjawab politik di seluruh negara dengan parti yang bersifat kenegerian.
Katanya, Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia perlu terus menjamin kebebasan demokrasi sepenuhnya, termasuk hak rakyat untuk mendengar pandangan, dasar dan tawaran politik daripada semua parti yang bertanding.
"Rakyat Sarawak berhak mendengar pandangan, dasar, tawaran politik dan penerangan daripada semua parti yang bertanding. Rakyat juga berhak mendengar ucapan pemimpin-pemimpin parti politik dari seluruh negara," katanya.
Roland berkata, rakyat perlu diberikan kebebasan untuk menilai, membandingkan serta menentukan parti dan calon yang diyakini mampu membawa masa depan lebih baik kepada negeri itu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar budaya politik yang takut kepada perbezaan pandangan, menolak kehadiran pemimpin dari luar Sarawak atau mengehadkan sumber maklumat politik kepada rakyat tidak diwujudkan.
"Kita tidak mahu Sarawak bergerak ke arah suatu sistem politik yang hanya membenarkan satu suara, satu pandangan dan satu kelompok berkuasa tanpa ruang semak dan imbang, seolah-olah kita sedang menuju sebuah sistem monarki tanpa perlembagaan," katanya.
Beliau menegaskan demokrasi bukan bermaksud rakyat hanya mendengar perkara yang mahu disampaikan pemerintah, sebaliknya memberikan kebebasan kepada mereka untuk mendengar, bertanya, mengkritik, membuat perbandingan dan memilih kerajaan sendiri.
"Sarawak milik rakyat. Demokrasi milik semua," katanya.
Semalam, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dipetik berkata, pemimpin politik dari Semenanjung Malaysia tidak perlu turun berkempen pada PRN13 kerana pilihanraya itu akan ditentukan oleh parti dan rakyat Sarawak sahaja.
Katanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menghantar pasukan kempen ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka untuk menyokong parti tertentu ketika pilihan raya negeri oleh itu beliau berharap parti lain juga tidak menghantar pemimpin berkempen pada PRN berkenaan.




Comments