Saat Saya Mula Menyokong Anwar


Oleh: Zunar
(Nota: Saya tidak menyokong seseorang pemimpin kerana taksub atau kerana mengampu. Saya menyokong pemimpin kerana kualiti kepimpinan).
Diari Reformasi: Pada 2 September 1998, Anwar yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah dipecat, dan beliau ditangkap 18 hari kemudian. Ketika Anwar dipecat, saya tidak mempedulikannya kerana ia adalah isu politik semata-mata.
Pecat-memecat, cantas-mencantas, dan jatuh-menjatuhkan adalah perkara biasa dalam dunia politik. Apatah lagi, saya tidak mengenali beliau secara peribadi.
Namun, apabila Anwar ditangkap (pada 20 Sept 1998), ia sudah melangkaui batas hak asasi manusia dan saya perlu mengambil sikap. Tuduhan liwat ciptaan Mahathir serta drama sandiwara yang dilakonkan oleh beliau dan konco-konconya sama sekali tidak meyakinkan, malah tidak dapat diterima oleh akal sihat saya.
Bagaimanapun, saya perlu turun ke padang untuk mencari kepastian sendiri dari Anwar kerana seperti yang disebut awal tadi, saya tidak mengenali beliau.
Ceramah di Bukit Antarabangsa
Ketika itu, bermula dari 2 September hingga 20 September 1998, boleh dikatakan hampir setiap malam majlis ceramah diadakan di kediaman Anwar. Pada satu malam, saya bersama seorang teman (Nazri Jalaluddin) berkesempatan untuk kali pertama mendengar ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri itu di rumahnya di Bukit Damansara. Ketika itu, ribuan orang hadir termasuklah ada yang sanggup meragas bukit kerana halaman rumah sudah penuh sesak dengan manusia.
Apabila Anwar naik ke pentas, gemaan ribuan teriakan "reformasi" menyambut kehadirannya. Saya mula terfikir, jika benar Anwar bersalah, pastinya beliau tidak akan mendapat sambutan luar biasa sebegini. Lagi pula, orang yang bersalah tidak akan berani berceramah di hadapan khalayak ramai, apatah lagi untuk bertentang mata dengan ribuan manusia.
Mulai saat itu, saya yakin skandal seks yang dijaja Mahathir benar-benar sebuah rekayasa. Kerjaya politik beliau mahu dibunuh kerana Anwar sebagai Menteri Kewangan ketika itu tegas menolak penggunaan wang rakyat untuk membailout syarikat-syarikat kroni dan anak PM yang kerugian berbilion ringgit - khususnya KPB dan Perwaja.
Orang kanan Anwar mula ditangkap
Selepas pemecatan Anwar, ramai orang-orang kanan beliau mula ditangkap. Siang hari tersebut, penulis ucapan beliau iaitu Dr Munawar Anees telah ditangkap. Ceramah Anwar pada malam itu, termasuk satu baris pidato yang sangat penting dan signifikan, terus melenyapkan baki keraguan saya. Pada saya, bukan saja beliau tidak bersalah, tetapi pemimpin sebeginilah yang saya mau angkat sebagai pemimpin.
Pada malam itu, Anwar, merujuk kepada penangkapan Dr Munawar, berpidato lebih kurang begini: "Kenapa tangkap orang-orang saya? Tangkap saya. Saya pemimpin!!!".
Kata-kata seperti ini tidak mungkin lahir daripada mulut seorang pemimpin biasa mahupun pemimpin-pemimpin Umno ketika itu. Ungkapan sebegini hanya mampu diucapkan oleh seorang pemimpin yang benar-benar mempunyai jiwa pembela di dalam hatinya.
Bagi saya, inilah sosok pemimpin yang memiliki jiwa pembela yang boleh disandarkan harapan oleh rakyat. Jiwa pembela itu jelas terserlah dalam peristiwa berikutnya, yang kemudiannya diceritakan kepada saya oleh Pak Ibrahim dan Rusli (kedua-duanya Allahyarham).
Dalam peristiwa demonstrasi membela petani miskin Baling yang diadakan di Masjid Negara pada tahun 1974, Anwar pada asalnya tidak ditangkap. Beliau sudah pun pulang dan berada di rumah bapanya (Pak Ibrahim) di Petaling Jaya. Namun, apabila mendapat perkhabaran tentang penangkapan teman-temannya (termasuk Fadzil Noor), beliau segera ke Balai Polis Jalan Stadium untuk membela mereka.
Tindakan itu akhirnya menyebabkan beliau sendiri ditangkap di bawah ISA selama dua tahun. Sudah tidak ditangkap, tetapi datang semula membela - itu markah yang sangat tinggi. Kebanyakan pemimpin, apabila berlaku tangkapan, penyokong dibiarkan ditangkap sedangkan dia sendiri lari.
Pertahankan prinsip
Ciri kedua yang membuka hati saya untuk menyokong Anwar pula adalah ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip, walaupun berhadapan dengan risiko. Sebelum dipecat, Anwar telah diberi kata dua oleh Dr Mahathir sama ada "meletakkan jawatan atau menghadapi tuduhan yang memalukan". Ugutan ini turut diiringi dengan laporan mengenai tawaran lumayan untuk bertugas di Bank Dunia sekiranya beliau memilih untuk meletak jawatan.
Kepada Mahathir, Anwar menjawab, "Kenapa saya harus meletak jawatan? Saya tidak bersalah. Saya akan lawan."
Anwar tahu bahawa dengan mengekalkan pendirian itu, beliau bakal masuk penjara. Beliau tahu beliau bakal kehilangan segala-galanya: jawatan tinggi dan gaji yang lumayan.
Namun, beliau tetap mempertahankan prinsipnya walau terpaksa berhadapan dengan risiko yang besar. Beliau adalah seorang pemimpin yang berani menerima kehilangan apa yang dimiliki. Jarang sekali saya melihat pemimpin yang sanggup melepaskan segala kemewahan demi sebuah prinsip.
Kerana itulah, saya menghormati Anwar sebagai pemimpin dan terus menyokong beliau. Slogan Anwar, "Kalau takut dengan risiko, jangan bicara soal perjuangan" bukan sekadar kata-kata kosong, tetapi telah dibuktikan melalui pelaksanaan dan pengorbanan yang nyata.




Comments