Kerajaan kekal sasaran pertumbuhan ekonomi, imbangi kebajikan rakyat
- Suara Keadilan

- 6 days ago
- 1 min read

Kerajaan menumpukan usaha mengimbangi kebajikan rakyat, tekanan inflasi dan pertumbuhan ekonomi susulan ketidaktentuan global, dengan sasaran pertumbuhan 2026 kekal pada 4.0 hingga 4.5 peratus setakat ini.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, unjuran itu mengambil kira risiko semasa seperti ketegangan geopolitik akibat konflik Asia Barat dan gangguan rantaian bekalan global, namun sebarang semakan sasaran pertumbuhan ekonomi bakal dimaklumkan Bank Negara Malaysia.
"Kerajaan perlu menyeimbangkan usaha melindungi kebajikan rakyat dengan memastikan momentum pertumbuhan tidak terjejas, khususnya berdepan tekanan bekalan minyak dan inflasi.
"Tekanan terbesar yang perlu kita hadapi ketika ini berkait dengan isu bekalan minyak dan inflasi, namun imbangan itu perlu dibuat dengan memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas.
"Pertumbuhan ekonomi akan terus dipacu melalui perbelanjaan domestik, pelaburan swasta serta pelaksanaan projek pembangunan kerajaan yang berjalan terus seperti dirancang," katanya dipetik.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan juga telah mengaktifkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang kini bersidang secara mingguan bagi memantau perkembangan semasa berdasarkan data terkini serta meneliti langkah bersesuaian menangani impak konflik berkenaan.
Akmal Nasrullah berkata hasil perbincangan MTEN itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diputuskan.
"Pada masa sama, Kementerian Ekonomi turut mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mendapatkan maklum balas berhubung cabaran semasa serta langkah meredakan kesan tekanan ekonomi.
"Kerajaan turut memberi perhatian kepada jaminan bekalan domestik termasuk tenaga, dengan langkah-langkah perlu sedang diambil bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam tempoh jangka sederhana," jelasnya.




Comments