Kerajaan benar pindah kelayakan BUDI Diesel kepada pengguna kenderaan


Kerajaan bersetuju memperluaskan kemudahan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel (Budi Diesel) bermula semalam.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian milik individu yang layak di bawah BUDI Diesel, kini boleh memindahkan kelayakan kepada individu yang benar-benar menggunakan kenderaan tersebut.
"Sebelum ini, pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat. Penerima yang diluluskan akan mendapat kelayakan bulanan sendiri yang boleh digunakan untuk membeli RON95 bersubsidi, diesel bersubsidi atau gabungan kedua-duanya.
"Pemindahan kelayakan ini tidak melibatkan pertukaran hak milik kenderaan. Penambahbaikan ini dibuat susulan maklum balas yang diterima oleh Datuk Seri Anwar terutamanya daripada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak, di mana urusan jual beli kenderaan secara ‘sambung bayar’ dan pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam sesebuah isi rumah lebih lazim," kata kementerian itu menerusi satu kenyataan.
Menurut MoF, di bawah ketetapan baharu itu terdapat dua penambahbaikan utama dilaksanakan iaitu pemindahan kelayakan diperluas kepada pengguna sebenar kenderaan dan pemilik beberapa kenderaan diesel boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga individu.
Katanya, pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah dan layak menerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang merupakan pengguna sebenar kenderaan yang ditetapkan.
"Setelah permohonan diluluskan, penerima yang diluluskan boleh menggunakan MyKad sendiri untuk membeli diesel bersubsidi berdasarkan kenderaan diesel yang ditetapkan kepadanya.
"Sebelum ini, kemudahan pemindahan hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat. Bagi pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan tersebut kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan diesel berdaftar.
"Pada masa yang sama, pemilik berdaftar masih mengekalkan kelayakan bulanan bagi kenderaan diesel persendirian yang belum dipindah untuk kegunaan sendiri.
"Sebagai contoh, sekiranya Encik Alias mempunyai empat kenderaan diesel persendirian, beliau boleh memindahkan kelayakan bulanan kenderaan tersebut kepada pengguna sebenar kenderaan itu seperti isteri, anak dan pekerja beliau.
"Encik Alias dan ketiga-tiga individu tersebut akan menerima kelayakan bulanan masing-masing berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan.
"Bagi kenderaan diesel persendirian jenis jip atau pikap yang layak, Encik Alias sebagai pemilik berdaftar kenderaan tersebut memohon tambahan 100 liter sebulan, tertakluk pada syarat yang ditetapkan sebelum permohonan pindah kelayakan dapat dibuat," jelas MoF lagi.
Permohonan di bawah ketetapan baharu boleh dibuat melalui Portal BUDI MADANI, www.budimadani.gov.my atau secara fizikal di mana-mana Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) atau mendapat maklumat lanjut serta bantuan di stesen minyak berdekatan.
Untuk membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 hari bulan berikutnya, permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 hari bulan semasa.




Comments