Kerajaan akan mansuh AUKU, kebebasan lebih luas kepada mahasiswa
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberikan kebebasan yang lebih luas kepada mahasiswa, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan mahasiswa yang masih merasakan beberapa peruntukan di bawah AUKU menghalang kebebasan mereka, meskipun beberapa pindaan telah dilaksanakan sebelum ini.
"Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas. Kita sudah bebaskan dengan pindaan AUKU, masih ada yang tidak puas hati dan mereka mengemukakan memo.
"Maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memberikan ruang lebih besar kepada mahasiswa untuk bersuara, berpersatuan dan terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan serta politik.
Bagaimanapun, katanya, tuntutan mahasiswa untuk mendapatkan kebebasan yang lebih menyeluruh perlu terus diberikan perhatian.
Pengumuman itu sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kebebasan akademik dan menjadikan institusi pengajian tinggi sebagai ruang yang lebih terbuka kepada perkembangan pemikiran, perbahasan serta penglibatan mahasiswa dalam kehidupan demokrasi negara.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak memperincikan tempoh pelaksanaan atau mekanisme penggubalan undang-undang baharu susulan pemansuhan AUKU.
Pengumuman berkenaan dibuat dalam ucapan dasar Presiden KEADILAN yang turut menekankan keperluan reformasi institusi dan pembaharuan berterusan bagi memastikan perubahan yang dibawa kerajaan memberi ruang lebih luas kepada rakyat, khususnya generasi muda.




Comments