Kemiskinan Selangor: Azmin Ali gagal faham realiti pembasmian kemiskinan
- Azuan Ab Rahman

- 4 days ago
- 2 min read

Kenyataan Ketua Pembangkang Selangor, Mohamed Azmin Ali berhubung isu miskin tegar di negeri itu dilihat sebagai cubaan politik murahan untuk mengelirukan rakyat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menegaskan, kerajaan Persekutuan dan Negeri tidak pernah menafikan kewujudan golongan memerlukan, selain usaha giat menoktahkan kemiskinan tegar terutama di Selangor.
"Kerajaan melaksana pelbagai bantuan kebajikan secara berterusan kepada rakyat termasuk program Bingkas , Khairat Darul Ehsan, Iltizam Selangor Sihat, Jom Shopping Perayaan serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang terus diperkasa dari semasa ke semasa.
"Pendekatan ini bukti kerajaan bukan sekadar bercakap soal kebajikan, tetapi melaksanakan intervensi terus kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa," kata Saifuddin dalam kenyataan.
Pada 29 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dilaporkan berkata isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan.
Bagaimanapun, Azmin dengan data diambil dari rekod penerima bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarat dan data eKasih pada 2024 mendakwa kenyataan bahawa kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan adalah tidak selari dengan realiti.
"Sebagai bekas Menteri Besar, Azmin Ali sepatutnya memahami bahawa data eKasih bukan bukti kerajaan Selangor gagal menangani kemiskinan seperti didakwa, kerana ia sebahagian daripada mekanisme pengesanan serta intervensi," tegas Saifuddin.
Saifuddin mengingatkan bahawa usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, institusi zakat, agensi berkaitan dan masyarakat.
Dalam masa sama jelasnya, Kerajaan Negeri juga menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya institusi zakat diperkasakan serta agenda membasmi kemiskinan terus diberi perhatian secara berterusan dan bersepadu.
"Yang sebenarnya berada dalam ‘denial syndrome’ ialah Azmin sendiri.
"Janganlah hari ini mahu menjadi juara rakyat dengan memainkan sentimen miskin tegar sedangkan rekod pentadbirannya sendiri memperlihatkan kegagalan memahami data serta realiti di lapangan," tambah Saifuddin.




Comments