top of page

'Sebuah motorsikal untuk Amirah, ketepi impian demi jaga ibu, nenek'

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Amirah (kanan) tidak dapat menahan air mata menerima hadiah sebuah motorsikal baharu dari Yuneswaran
Amirah (kanan) tidak dapat menahan air mata menerima hadiah sebuah motorsikal baharu dari Yuneswaran

Kisah pengorbanan seorang remaja yang sanggup mengetepikan cita-citanya melanjutkan pelajaran demi keluarga menyentuh hati lewat catatan di media sosial Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran.


Tulis beliau, seorang ibu tunggal dikenali sebagai Kak Zah telah sekian lama berjuang membesarkan anak-anak tanpa kehadiran suami, malah tidak menerima sebarang bantuan kewangan pun daripada bekas pasangannya itu.


Katanya sejak ditinggalkan, Kak Zah terpaksa menanggung segalanya sendiri sehingga sekarang.


Ujian Kak Zah, menurut Yunes, bertambah berat apabila ibu beliau diserang strok yang memaksanya berhenti kerja untuk menjaga warga emas tersebut sepenuh masa.


"Sekarang ni Kak Zah hanya bergantung harap pada anak sulung, Atikah yang bekerja di kedai kain. Gaji dia bukannya besar, cukup-cukup makan saja.


"Tapi itulah satu-satunya sumber rezeki keluarga. Dalam diam, anak itu menjadi tulang belakang keluarga, memikul beban yang berat pada usia muda," katanya.


Dalam pada itu, anak keduanya, Amirah yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membuat keputusan besar untuk bekerja bagi membantu keluarga walaupun mempunyai potensi untuk melanjutkan pelajaran.


"Saya nak jaga nenek. Dia mungkin dah tak lama, jadi saya tak nak menyesal. Pelajaran boleh tunggu," kata Amirah.


Tersentuh dengan kecekalan dan pengorbanan tersebut, Yuneswaran mengambil inisiatif membantu Amirah mendapatkan lesen motosikal serta menemani beliau menghadiri beberapa sesi temuduga kerja.


Usaha itu membuahkan hasil apabila Amirah berjaya memperoleh pekerjaan dengan gaji hampir RM2,000 sebulan.


Tidak terhenti di situ, beliau turut membuat kejutan dengan menghadiahkan sebuah motosikal baharu kepada Amirah bagi memudahkan urusan harian.


"Kita nak pergi mana ni YB?" tanya Amirah pada satu hari apabila Yunes membawanya ke pekan.


Sebaik sampai di tempat tersebut, kata Yunes, Amirah nampak ada sebuah “kuda” berwarna kuning serba baharu siap berbalut dengan riben.


Saya kata kepada dia, "Ini awak punya. Terimalah hadiah ini dari saya."


Amirah yang terkejut dengan pemberian tersebut mempersoalkan bagaimana untuk membalas jasa itu. Air matanya mula bergenang dan terus menangis.


"Kenapa buat semua ni YB? Macam mana saya nak bayar balik?" tanyanya.


Namun Yuneswaran menegaskan bantuan tersebut diberikan secara ikhlas menggunakan gaji peribadinya.


"Jangan risau, tak perlu bayar balik. Saya hadiahkan dengan ikhlas," jelasnya.


Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang.


"Orang Segamat dah macam ahli keluarga saya sendiri, tak kira bangsa atau agama. Jiwa perpaduan ini saya akan dukung selagi mana saya berkhidmat," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page