top of page

Rakyat Sabah, Sarawak tetap pertahan kedaulatan Malaysia - Mustapha

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
57 minutes ago
2 min read

Rakyat Sabah dan Sarawak tetap teguh mendukung kedaulatan Malaysia serta menolak sebarang provokasi menghina Jalur Gemilang termasuk tindakan sekumpulan individu yang mengibarkan bendera negara secara terbalik di Melbourne, Australia.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata perbuatan sedemikian bukan sahaja mencemarkan lambang kedaulatan negara malah berisiko menjejaskan reputasi rakyat Malaysia yang menetap, belajar dan bekerja di luar negara.


“Menghina lambang kedaulatan negara tidak mencerminkan langsung budaya warga Sabah dan Sarawak yang penuh adab dan santun,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau mengulas tindakan sekumpulan individu mendakwa daripada Pertubuhan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne semalam.


Demonstrasi bersempena Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dianjurkan bagi mengetengahkan tuntutan pertubuhan berkenaan berkaitan sejarah pembentukan Malaysia, hak rakyat serta masa depan politik Sabah dan Sarawak.


Mustapha berkata meskipun Kerajaan MADANI menjamin kebebasan bersuara, hak demokratik itu tidak bermakna seseorang boleh melakukan sebarang tindakan tanpa mengambil kira implikasi undang-undang.


“Kerajaan MADANI menjamin kebebasan bersuara. Namun, kebebasan bukan bermakna seseorang terlepas daripada implikasi atas tindakannya,” katanya.


Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai membuat laporan polis rasmi supaya pihak berkuasa dapat menyiasat kandungan media sosial yang memaparkan Jalur Gemilang secara terbalik mengikut lunas undang-undang.


Mengulas tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Mustapha berkata, isu hak Sabah dan Sarawak yang sebelum ini dianggap sensitif kini dapat dibincangkan secara terbuka malah menjadi antara agenda utama negara di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.


Kata beliau rundingan rasmi sepanjang hampir empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyelesaikan 12 perkara berkaitan MA63 selain meningkatkan pemberian khas interim Sabah kepada RM1.5 bilion setahun berbanding RM26.7 juta sebelum ini.


Beliau berkata rundingan mengenai tuntutan Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Persekutuan dari negeri itu juga diteruskan bagi mencapai penyelesaian tuntas.


“Rakyat boleh menilai sendiri hasil perjuangan melalui rundingan dan tindakan berbanding provokasi sebegini,” katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page