KEADILAN sasar kerusi strategik, bertapak semula di Melaka


Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berpeluang membina semula tapak politiknya di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya negeri 2021.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Melaka Adam Adli Abd Halim berkata parti itu menyasarkan beberapa kerusi strategik bagi mengembalikan kedudukannya dalam peta politik negeri berkenaan.
“KEADILAN bermula daripada tapak yang lebih rendah. Kita ada sifar kerusi sebelum ini menerusi pilihan raya negeri 2021.
“Sekarang kita ada peluang untuk kita mula kembali cari tapak politik bagi terutama sekali KEADILAN negeri Melaka dan selebihnya adalah untuk kita pastikan bahawa kita berkukuhkan PH di negeri Melaka ini sendiri,” katanya selepas majlis pengumuman calon PH bagi PRN Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.
Adam berkata cabaran yang dihadapi pada PRN kali ini berbeza berbanding pilihan raya negeri sebelum ini dengan KEADILAN memberi tumpuan kepada beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai kerusi strategik.
Beliau yakin sasaran berkenaan dapat membuka ruang kepada KEADILAN untuk kembali memainkan peranan dalam politik negeri itu.
“2021 cabaran ini jauh berbeza daripada sekarang dan kita yakin bahawa dengan beberapa kerusi yang kita sasarkan, kerusi-kerusi strategik ini, kita boleh kembali meletakkan KEADILAN dalam peta politik negeri Melaka, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Adam berkata keputusan mengumumkan calon lebih awal bertujuan memberi ruang kepada mereka membiasakan diri dengan kawasan yang bakal ditandingi, memperkenalkan diri kepada penduduk serta membuat persiapan menghadapi hari penamaan calon.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) pada awalnya merancang mengumumkan calon lebih awal namun beberapa perkara berkaitan persiapan perlu diselesaikan sebelum keputusan itu dimuktamadkan.
Beliau berkata pengumuman berkenaan dibuat kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon bagi membolehkan calon membuat persediaan dengan lebih yakin.
PH mengumumkan bertanding di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada PRN ke-16 dengan KEADILAN diperuntukkan sembilan kerusi, DAP tujuh kerusi dan Parti Amanah Negara (AMANAH) lima kerusi.
PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 14 November inimanakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.




Comments