top of page

“Politik bukan sekadar jual kopiah, mesti ada isi di kepala” – Mahfuz

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menyelar naratif politik yang menurutnya terus dimainkan oleh Pas yang cuba menggambarkan seolah-olah parti itu menjadi satu-satunya penyelamat Islam dan Melayu di Malaysia.


Menurut beliau, pendekatan tersebut bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya merupakan “politik lama” yang bertujuan menakut-nakutkan rakyat agar Pas dilihat sebagai penjaga tunggal agama.


"Tulisan terbaru Presiden Pas sekali lagi cuba menggambarkan kononnya hanya Pas menjadi penyelamat Islam dan Melayu, manakala pihak lain dianggap lemah, rosak dan tersasar," katanya.


Menurut Mahfuz, rakyat kini semakin matang dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan retorik berasaskan sentimen agama dan kaum semata-mata.


"Rakyat mahu melihat siapa bekerja, siapa menyelesaikan masalah, siapa membawa pelaburan, siapa membantu rakyat menghadapi kos sara hidup, dan siapa hanya pandai bermain sentimen agama serta bangsa," ujarnya.


Beliau turut mengkritik pentadbiran negeri-negeri di bawah Pas seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu yang disifatkan masih gagal memberikan jawapan meyakinkan terhadap isu-isu asas seperti peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan masa depan anak muda.


"Pas jangan terlalu sibuk memeriksa ‘paku lantai rumah orang’ sedangkan bumbung rumah sendiri bocor. Atap rumah berterbangan. Rakyat sendiri melihat banyak kelemahan dalam negeri-negeri yang mereka tadbir," katanya.


Mahfuz menegaskan bahawa politik tidak boleh hanya bergantung kepada simbol agama, slogan Melayu-Islam dan retorik ketakutan semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan kebijaksanaan, dasar ekonomi yang kukuh serta pentadbiran yang cekap.


Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa Pas juga pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik sebelum ini, terutama UMNO dan DAP yang menjadi musuh ketatnya sekarang, dan tidak wajar bertindak seolah-olah menjadi “hakim tunggal syurga politik”.


"Sejarah membuktikan Pas pernah bekerjasama dengan DAP, Pas pernah bersama pelbagai parti, Pas sendiri berubah pendekatan mengikut keperluan politik semasa," bidasnya.


Selain itu, beliau menambah bahawa kekuatan Islam tidak terletak pada retorik politik semata-mata, tetapi melalui pentadbiran yang bersih, ekonomi yang kukuh serta keadilan sosial yang dapat dirasai oleh rakyat.


"Rakyat hari ini tidak mahu politik yang hanya pandai mencari musuh setiap hari. Rakyat mahu pemimpin yang membawa harapan dan penyelesaian," kata Mahfuz lagi.


Untuk rekod, dalam tulisan terbaharu Presiden Pas, Hj Hadi Awang mengkritik UMNO yang dianggap khianat kepada umat Melayu dalam perjuangannya dan menyatakan Pas adalah parti terbaik bagi membela politik Melayu-Islam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page