top of page

Naik peruntukan MITRA RM150 juta, tekad kerajaan bantu masyarakat India

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 days ago
  • 2 min read

Keputusan kerajaan menaikkan peruntukan Malaysian Indian Transformation Unit (MITRA) kepada RM150 juta disifatkan sebagai langkah bersejarah dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George (gambar) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman tersebut yang menurutnya memberi impak besar kepada komuniti berkenaan.


"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri atas pengumuman kenaikan peruntukan MITRA kepada RM150 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, peningkatan itu merupakan detik penting memandangkan peruntukan tahunan badan berkenaan sebelum ini tidak pernah dinaikkan sejak penubuhannya, termasuk ketika dikenali sebagai SEDIC.


"Sejak penubuhan MITRA, termasuk ketika masih dikenali sebagai SEDIC, peruntukan tahunan tidak pernah dinaikkan dan kekal sekitar RM100 juta selama lebih dua dekad," ujarnya.


Beliau berkata, tambahan RM50 juta itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan masyarakat India secara lebih menyeluruh.


Tambahnya, peningkatan peruntukan akan membolehkan lebih banyak program dilaksanakan meliputi pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan usahawan, kebajikan masyarakat serta pemerkasaan belia dan wanita.


"Dengan meningkatnya peruntukan ini, lebih banyak program dan inisiatif dapat dilaksanakan khususnya dalam bidang pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan usahawan, kebajikan masyarakat, pembangunan belia dan wanita serta pemerkasaan komuniti secara menyeluruh."


Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan atas usaha membawa suara masyarakat India ke peringkat tertinggi kerajaan.


"Saya juga ingin merakamkan penghargaan atas usaha dan komitmen berterusan beliau dalam membawa suara serta keperluan masyarakat India," ujarnya.


Sehubungan itu, Gunaraj menyeru masyarakat India untuk terus menyokong kepimpinan negara dalam usaha membawa pembangunan dan peluang baharu.


"Marilah kita terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri kerana kita percaya beliau akan terus membawa pembangunan, peluang dan harapan baharu kepada masyarakat India di negara ini," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page