Kemampuan kerajaan tampung subsidi ketika ini hasil penjimatan
- Suara Keadilan

- Mar 29
- 1 min read

Kerajaan MADANI masih mampu menampung subsidi bagi petrol RON95 ketika ini, namun bersedia melaksana pelarasan dasar mengikut keperluan sekiranya kos bahan api itu terus meningkat.
Muhammad Kamil berkata begitu menerusi satu sidang media selepas merasmikan Program Satelit: Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) 2.0 Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Ipoh pada Sabtu.
"Buat masa ini (subsidi) masih ditampung, tetapi kita perlu bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan. Tiada mana-mana negara di dunia mampu bertahan dengan mengekalkan kaedah ekonomi yang sama sekiranya kos terus meningkat.
"Kita harus beranjak mengikut keperluan supaya ekonomi secara keseluruhan terus berada dalam keadaan baik. Ini tidak bermakna kita mengetepikan hak dan kebajikan rakyat kerana dasar akan berubah mengikut keadaan semasa," katanya dipetik.
Sementara itu tambahnya, kemampuan negara bertahan ketika ini adalah hasil langkah penjimatan dan penstrukturan semula subsidi yang dilaksanakan kerajaan.
"Keupayaan tersebut daripada situ dan lonjakkan harga ataupun kos itu bukan kecil, daripada RM700 juta kepada RM4 bilion sebulan. Ini satu angka yang besar dan jangan pula kita nafikan fakta dan kebenarannya," katanya.
Krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat menyebabkan beberapa negara di rantau Asia mula melaksanakan langkah drastik termasuk catuan bahan api, penjimatan tenaga dan sekatan aktiviti harian.
Krisis itu telah menjadi cabaran global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat di pelbagai negara.
Sementara itu, sebagai mengulas keuntungan Petronas susulan kenaikan harga minyak dunia, beliau menjelaskan walaupun harga minyak mentah naik memberi pulangan kepada negara, Malaysia juga perlu mengimport minyak bagi menampung keperluan domestik.




Comments