top of page

Cadang subsidi petrol 300 liter secara bersasar untuk petugas kesihatan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan dicadangkan mempertimbangkan pemberian subsidi petrol sebanyak 300 liter sebulan secara bersasar kepada petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dalam tugasan lapangan.


Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan itu mengambil kira keperluan mobiliti tinggi dalam kalangan petugas kesihatan awam yang menggunakan kenderaan sendiri bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.


"Sebahagian petugas kesihatan awam menggunakan kenderaan sendiri bagi melaksanakan lawatan pesakit kronik, pemantauan penyakit berjangkit serta intervensi kesihatan komuniti. Keperluan mobiliti ini berkait secara langsung dengan keberkesanan sistem kesihatan awam di peringkat akar umbi," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan berhubung keperluan mengekalkan kuota subsidi petrol 300 liter sebulan bagi kumpulan berkenaan.


Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol kepada 200 liter sebagai usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara dalam menghadapi tekanan krisis tenaga global.


"Secara keseluruhannya, majoriti rakyat tidak terkesan dengan pelarasan ini memandangkan data menunjukkan 90 peratus rakyat menggunakan BUDI95 kurang 200 liter sebulan," jelasnya.


Namun, menurut beliau, pendekatan bersasar perlu dipertimbangkan bagi memastikan petugas kesihatan yang mempunyai keperluan mobiliti tinggi terus mendapat sokongan sewajarnya.


"Kerajaan boleh mempertimbangkan pendekatan bersasar bagi memastikan petugas kesihatan yang mempunyai keperluan mobiliti tugas tinggi terus diberikan sokongan tanpa menjejaskan matlamat rasionalisasi subsidi negara," katanya.


Beliau menegaskan bahawa pendekatan seimbang amat penting dalam memastikan disiplin fiskal negara terus diperkukuh tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.


"Pendekatan seimbang seperti ini penting bagi memastikan disiplin fiskal negara dapat diperkukuh, tanpa menjejaskan keberkesanan perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page