top of page

AMK Selangor sasar rampas dua pertiga kerusi DUN - Iman Haziq

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) menegaskan bahawa tahun ini merupakan ujian bagi AMK apabila parti akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) sama ada tahun ini atau tahun depan.


Menurut beliau, tidak kira sama ada wujud perbezaan pandangan dalam kalangan ahli, semua pihak perlu bersatu dalam satu saf perjuangan demi memastikan kemenangan.


"Kita boleh ada pandangan berbeza, duduk di cabang berbeza, tetapi bila berada dalam medan perjuangan, wajib dalam satu saf yang sama. Kalau kita berpecah, kita kalah sebelum bertanding. Kalau kita bersatu, kita lawan siapa pun, kita pasti menang," katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan Selangor, petang semalam.


Beliau turut mengingatkan bahawa tiada lagi ruang untuk politik berasaskan ego atau drama dalaman ketika parti sedang menghampiri medan pilihanraya.


"Sekarang tiada masa untuk politik ego, tiada masa untuk drama atau politik dalaman. Kita menuju pilihanraya, dan pilihanraya tidak pernah menunggu kita bersedia. Saya tegaskan, buat sekarang, bukan esok. Kita tidak boleh tunggu."


Dalam pada itu, beliau menetapkan sasaran untuk merampas dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang disifatkan sebagai misi wajib, bukan sekadar slogan.


"Misi kita jelas, mahu rampas dua pertiga kerusi DUN Selangor. Ini bukan angan-angan atau slogan kosong, ini misi wajib untuk dicapai," ujarnya.


Tambah beliau, setiap kerusi DUN di Selangor perlu diberi perhatian serius tanpa menganggap mana-mana kawasan sebagai selamat atau milik pihak tertentu.


"Setiap kerusi DUN diambil kira. Tiada istilah kerusi selamat, tiada istilah kerusi parti lain. Setiap kerusi adalah tanggungjawab kita," tegasnya.


Berkata lanjut, beliau menekankan kepentingan kerja lapangan yang konsisten sebagai kunci kemenangan.


Dalam masa sama, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang membuka ruang kepada ramai pemimpin cabang untuk memegang jawatan dalam pentadbiran.


"Hari ini Datuk Seri Amirudin beri peluang kepada kita. Daripada 22 ketua cabang, 19 dilantik sebagai ahli majlis, selain ada yang menjadi ketua kampung dan sebagainya. Ini kepercayaan kepada kita," katanya.


Sehubungan itu, Iman Haziq menggesa semua pemegang jawatan agar membalas kepercayaan tersebut dengan prestasi kerja yang cemerlang di peringkat akar umbi.


"Sekarang masa untuk kita kembalikan kepercayaan ini. Masa untuk berkhidmat kepada parti. Setiap yang terima lantikan, buat kerja di bawah, fokus cabang masing-masing, jaga platform dan jadi hero di mata rakyat," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa semua lantikan tidak akan membawa makna sekiranya parti gagal mencapai kemenangan dalam pilihanraya akan datang.


"Lantikan ini tidak akan ada makna kalau kita kalah dalam PRU. Jangan sia-siakan peluang ini, jangan tunggu pilihanraya dekat baru nak buat kerja. Itu bukan caranya," kata beliau lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page