Perkasa anak muda, pertahan Selangor sebagai kubu kuat KEADILAN
- Redzuan Shamsudin
- 3 hours ago
- 2 min read

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Dr Taufiq Johari (gambar) menyeru usaha berterusan untuk memperkukuh kefahaman anak muda agar kesinambungan perjuangan parti tidak terhenti.
Menurut beliau, Selangor kekal sebagai kubu kuat KEADILAN sejak 2008 dan perlu dipertahankan dengan segala kekuatan yang ada.
"Kita perlu memahamkan anak muda hari ini supaya obor perjuangan KEADILAN tidak terhenti. Negeri selangor kubu kita sejak 2008 sehingga hari ini. Dengan kekuatan yang kita ada kita jadikan KEADILAN Selangor sebagai benteng kekuatan," katanya pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda KEADILAN Selangor, semalam.
Beliau menegaskan bahawa semua 22 kawasan Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor perlu dikuasai tanpa memberi ruang kepada pihak lawan.
"Pastikan 22 kawasan Parlimen dan 56 kerusi DUN Selangor tidak diberikan sedikit ruang kepada sesiapa," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa musuh sebenar parti bukanlah dari dalam, sebaliknya pihak pembangkang yang sentiasa mencari peluang memecah-belahkan kesatuan.
"Musuh sebenar bukan dalam parti. Musuh sebenar adalah pembangkang yang setiap hari mencari ruang untuk pecah-belahkan kita. Jangan beri ruang kepada mereka, sebab itu kita perlu bekerja keras. Tiada masa untuk kita rasa selesa," katanya.
Mengulas mengenai landskap politik semasa, beliau mempersoalkan risiko sekiranya pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.
"PRU akan datang, adakah kita mahu mereka yang hari ini pembangkang menjadi kerajaan? Proses memperbodohkan rakyat akan berterusan," katanya.
Beliau turut memuji kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang menurutnya gigih memastikan pembangunan ekonomi negara walaupun berdepan cabaran global.
"Hari ini kita lihat Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan presiden kita setiap hari menjelajah seluruh negara memastikan ekonomi dibangunkan," katanya.
Tambah beliau, Malaysia masih mampu bertahan dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, termasuk konflik di Timur Tengah, berbanding beberapa negara lain.
"Dalam kegawatan ekonomi dan perang di Iran, negara kita masih bertahan dengan kukuh. Jika lihat negara lain seperti Thailand dan Filipina, sudah mula catuan minyak, stesen kehabisan stok. Tetapi negara kita masih menikmati BUDI95 pada harga RM1.99 dan setiap bulan kerajaan membelanjakan kira-kira RM4 bilion untuk subsidi," jelasnya.
Menurutnya, kestabilan itu hasil kepimpinan yang berkesan, namun usaha tersebut sering diputar belit oleh pembangkang.
"Ini disebabkan kepimpinan yang hebat, tetapi pembangkang cuba memperbodohkan rakyat. Hari ini mereka seru jimat minyak, tetapi di negeri mereka buat konvoi besar-besaran. Ini langkah yang tidak cerdik," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar rakyat tidak memberi peluang kepada pihak yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh parti melalui pembangunan kepimpinan anak muda dan pengukuhan akar umbi.
"Kita perlu kukuhkan parti, lahirkan lebih ramai anak muda melalui program kepimpinan. AMK Selangor perlu turun ke bawah, bangkit dan memperbanyakkan ranting, pastikan anak muda bersama KEADILAN," katanya lagi.
Di samping itu, beliau juga mengingatkan agar anggota parti sentiasa berintegriti dan tidak menjadi punca perpecahan dalaman.
"Jangan sampai ada duri dalam daging dalam parti. Jangan sampai ada anggota yang setiap hari cuba memecah-belahkan dan menjatuhkan parti. Ini bukan perjuangan, ini pengkhianatan," katanya.
