Kemalangan maut: Selangor sedia bantu keluarga Allahyarham Amirul Hafiz
- Suara Keadilan

- 9 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor sedia membantu isteri dan anak-anak penunggang motosikal maut dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang dekat sini, Ahad lalu.
Exco Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari memaklumkan pihaknya akan menemui isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid selepas semua urusan keluarga itu selesai.
"Pegawai saya cuba menghubungi mereka dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor tetapi buat masa ini kita menghormati keadaan mereka.
"Saya kira perkara yang lebih penting adalah nasib anak-anak dan ibu itu selepas kematian suaminya yang saya difahamkan arwah suaminya melakukan dua pekerjaan untuk menambah pendapatan keluarga," katanya dipetik dalam sidang media di Majlis Townhall x Raya Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK pada Selasa.
Mengulas bentuk bantuan yang boleh disalurkan, Anfaal berkata, selain bantuan BINGKAS RM300 bulanan kepada ibu tunggal, pihaknya akan bertemu sendiri Nor Nadia bagi mengenalpasti bantuan lain yang boleh disalurkan termasuk cadangan pekerjaan yang sesuai.
"Mungkin dari segi pekerjaan, kita ada usahakan contohnya kemahiran berniaga dan salah satu program yang ditandatangani antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Taylor's University bagi pelaksanaan Program IbuNiaga, sebuah inisiatif pembangunan keusahawanan yang menyasarkan wanita B40 melalui latihan berstruktur, bimbingan.
"Kemahiran berniaga ini bukan semua orang mempunyai kemahiran, jadi kita perlu berikan kemahiran latihan dan juga asas penggunaan secara digital ataupun dalam talian," tambahnya.
Pada Ahad, Amirul Hafiz Omar, 33 maut selepas dirempuh kereta Honda City yang dipandu dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah.
Arwah meninggalkan tiga anak, dengan dua daripadanya sedang bersekolah dan seorang lagi baru berusia dua tahun.
Pada Selasa Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan mengambil dua anak Allahyarham sebagai anak angkat di bawah Yayasan Pelajaran MARA.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak RM120 seorang juga akan disalurkan di peringkat sekolah rendah dan ditingkatkan kepada RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah, disertai pemantauan berterusan sehingga mereka menamatkan persekolahan.
"Ini bukan sekadar bantuan sementara tetapi satu komitmen jangka panjang bagi memastikan pendidikan mereka terus terbela," katanya.




Comments