Keliru bantuan Kasih Johor, Kerajaan Negeri digesa perjelas kriteria penerima
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Isu kelayakan penerima Bantuan Kasih Johor Fasa 4 mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat apabila terdapat percanggahan antara pengumuman awal dan semakan terkini yang dibuat secara atas talian.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Tebrau, Jalex Lee (gambar) berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada rakyat yang sebelum ini dimaklumkan layak, namun didapati tidak tersenarai sebagai penerima selepas membuat semakan menggunakan nombor kad pengenalan.
"Kami menerima banyak aduan daripada rakyat, khususnya golongan yang sebelum ini dimaklumkan layak, tetapi apabila membuat semakan menggunakan nombor kad pengenalan, mereka didapati tidak layak menerima Bantuan Kasih Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, situasi tersebut menimbulkan kekeliruan yang boleh dielakkan sekiranya Kerajaan Negeri memberikan penjelasan lebih terperinci berkenaan syarat kelayakan.
"Saya merasakan Kerajaan Negeri perlu lebih proaktif dalam menjelaskan secara terperinci kriteria penerima bantuan ini. Janganlah pengumuman dibuat seolah-olah semua individu dalam kategori tertentu akan menerima bantuan tersebut secara automatik," ujarnya.
Beliau turut memberi contoh mengenai penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori warga emas yang sebelum ini diumumkan layak menerima bantuan berkenaan, namun realitinya terdapat individu dalam kumpulan tersebut yang tidak tersenarai.
"Ketika pengumuman oleh Menteri Besar sebelum ini, dinyatakan bahawa penerima STR dalam kategori warga emas akan layak menerima Bantuan Kasih Johor. Namun apabila penerima STR sendiri hadir berhubung dengan kami dan membuat semakan, mereka didapati tidak layak pula," jelasnya.
Sehubungan itu, Jalex Lee menggesa Kerajaan Negeri supaya mengeluarkan garis panduan yang lebih jelas bagi mengelakkan salah faham berterusan dalam kalangan rakyat.
"Perkara ini telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan rakyat. Oleh itu, saya menyeru agar Kerajaan Negeri mengeluarkan garis panduan dan kriteria yang lebih jelas supaya rakyat Johor dapat memahami dengan tepat syarat kelayakan untuk menerima bantuan tersebut," katanya lagi.



Comments