Kekang salah guna, pengoperasian kafe siber akan disemak semula - Exco
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor bakal melakukan semakan semula kepada pengoperasian kafe siber di seluruh negeri itu, kata Exco Belia, Sukan & Keusahawanan negeri
Mohd Najwan Halimi (gambar) berkata, semakan itu bagi memastikan pengusaha mematuhi syarat ditetapkan termasuk mengekang aktiviti tidak bermoral dan penularan maklumat palsu dan akan dilaksanakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dalam aspek pelesenan serta penguatkuasaan.
"Operasi kafe siber diletak khusus di bawah PBT termasuk lesen, pemantauan dan penguatkuasaan. Saya akan berbincang dengan Exco berkaitan untuk melihat semula mekanisme kerana dahulu pergi ke kafe siber bermain 'game' dan 'chatting' sahaja tetapi kini berbeza.
"Oleh itu, Kerajaan Negeri dengan PBT akan semak semula daripada segi kandungan dan perkhidmatan disediakan sebab khuatir pengguna khususnya anak muda akses pelbagai maklumat yang kita tidak sempat pantau," katanya dipetik di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Selasa.
Najwan sebelumnya menjawab soalan seorang Ahli Dewan berhubung pemeriksaan berkala di kafe siber yang menjadi tumpuan anak muda.
Dalam perkembangan lain, Mohd Najwan turut memaklumkan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) bekerjasama dengan syarikat besar dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia.
"STDC merupakan salah satu agensi yang kita beri ruang khususnya kepada anak muda peroleh pekerjaan di syarikat besar seperti Daikin, Proton dan Perodua selain mendapat sijil kelayakan. Ini ruang anak muda berkemahiran dan mempunyai potensi besar.
"Penggerak Belia Selangor (PeBS) juga memainkan peranan sebagai pemudahcara dengan melaksanakan program latihan berskala kecil tetapi beimpak tinggi secara terus di peringkat komuniti seperti bengkel asas kemahiran digital, pemasaran media sosial, e-dagang serta pendedahan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (Al)," tambahnya.




Comments