Kekalkan subsidi diesel di Sabah, Sarawak pastikan pembangunan seimbang
- Akmal Manaf
- 2 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI mengekalkan subsidi pukal diesel di Sabah dan Sarawak sebagai langkah realistik dan berimbang, mencerminkan pengiktirafan terhadap jurang kos sara hidup dan cabaran geografi, sekali gus memastikan pembangunan negara berlangsung secara lebih inklusif tanpa meminggirkan mana-mana wilayah.
Pemimpin KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, di Borneo penggunaan kenderaan pacuan empat roda (4WD) bukanlah satu kemewahan tetapi satu keperluan asas, memandangkan masih banyak kawasan yang mempunyai jalan tidak berturap dan mencabar.
"Berbeza di Semenanjung yang memiliki infrastruktur jalan raya dan kemudahan awam yang lebih menyeluruh.
"Perbezaan harga bahan api itu bukan satu bentuk ketidakadilan kepada rakyat di Semenanjung, sebaliknya merupakan langkah dasar bertujuan menyeimbangkan kos sara hidup dan kos perjalanan yang lebih tinggi di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu berpendapat, penyelarasan harga diesel di seluruh negara hanya wajar dipertimbangkan apabila kemudahan infrastruktur dan akses pengangkutan awam berada pada tahap yang setara.
Katanya, dalam keadaan harga minyak global yang tidak menentu dan cenderung untuk meningkat, langkah kerajaan mengawal harga bahan api adalah amat penting bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Walau bagaimanapun, harus diakui bahawa harga RON95 di Malaysia masih antara yang terendah di Asia, kecuali Brunei.
"Justeru, langkah berjimat cermat dan penggunaan sumber secara berhemah adalah amat digalakkan dalam menghadapi kemungkinan krisis minyak global yang berpanjangan.
"Kita juga berharap agar konflik di negara-negara Teluk tidak berlarutan demi kestabilan pasaran tenaga dunia," ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas usaha mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.
Semalam, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini, susulan peningkatan harga minyak global.
MOF turut memaklumkan harga runcit diesel di Semenanjung pula naik sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
Selain itu, harga petrol RON95 tanpa subsidi turut dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM3.87 seliter manakala harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pula kekal pada paras RM1.99 seliter.
