Pas dicabar nyatakan pendirian terhadap Azmin Ali dalam PN Selangor
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor mencabar Pas negeri itu menyatakan pendirian jelas berhubung kedudukan mereka dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya melibatkan kepimpinan Mohamed Azmin Ali di Selangor.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Ammar Izham (gambar) berkata, situasi semasa susulan keputusan Pas Pusat memutuskan hubungan dengan Bersatu menimbulkan persoalan mengenai hala tuju Pas di peringkat negeri.
"Persoalan yang wajar dijawab ialah sama ada Pas Selangor akan terus bergerak dalam kerangka politik yang diterajui oleh Bersatu di Selangor atau mempunyai pendirian tersendiri berhubung keputusan yang dibuat oleh pimpinan pusat parti mereka," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, Pas Selangor setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, Pas Selangor seharusnya berani menyatakan pendirian memandangkan parti itu sering dilihat mempunyai keupayaan untuk memimpin PN di negeri tersebut.
"Keadaan ini menjadikan penjelasan daripada Pas Selangor lebih diperlukan bagi menjelaskan kedudukan mereka dalam gabungan tersebut," ujarnya.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Selangor mencabar Pas Selangor menyatakan secara terbuka pendirian Pas Selangor menerima dan mematuhi sepenuhnya keputusan Pas Pusat untuk memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan menolak sepenuhnya kepimpinan Azmin Ali di Selangor dan segera menukar Ketua Pembangkang DN Selangor menjelang Sidang Khas yang akan dilaksanakan pada 19 Jun ini.
Tambah beliau, kegagalan berbuat demikian akan menunjukkan kelemahan Pas dalam memimpin pembangkang di negeri tersebut.
"Jika Pas Selangor memilih untuk kekal dengan status quo atas sebarang alasan, ini membuktikan bahawa PAS Selangor tidak mempunyai keupayaan untuk mengetuai pembangkang apatah lagi sebagai pemerintah negeri," katanya.
Beliau turut mendakwa rakyat semakin menyedari corak politik pembangkang yang dilihat lebih cenderung kepada kepentingan politik berbanding agenda rakyat.
"Rakyat Selangor sedar akan permainan politik pembangkang khususnya Pas yang senantiasa mencari keuntungan politik sedangkan Pakatan Harapan baik di peringkat negeri dan Persekutuan, menumpukan sepenuh usaha ke arah pemulihan dan kemajuan negara," katanya.




Comments