top of page

Syura, adab: JAKIM diminta hayati, sebar luas titah Sultan Nazrin - PM

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
3 hours ago
2 min read
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke 75 di Putrajaya, pagi tadi
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke 75 di Putrajaya, pagi tadi

Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menghayati dan menyebarluaskan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung kepentingan budaya syura dan adab dalam menguruskan perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam.


Perdana Menteri berkata titah Sultan Nazrin itu merupakan nasihat berharga bukan sahaja kepada kerajaan malah parti politik, badan dakwah dan masyarakat secara keseluruhannya.


"Saya telah meminta pihak Jakim untuk menghadam dan menyebarluaskan titah Tuanku ini untuk dihayati oleh segenap peringkat masyarakat.


"Titah ini ialah nasihat berharga buat kami semua dalam pimpinan kerajaan, parti-parti politik, badan dakwah dan masyarakat seluruhnya," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.


Anwar berkata prinsip dan budaya syura perlu dijadikan suluh manakala adab mesti menjadi kemudi dalam menguruskan perbezaan pandangan khususnya ketika pendapat bersilang dan perbahasan menjadi semakin tegang.


Menurut beliau, kejernihan pertimbangan serta kesantunan budi perlu terus memandu peribadi dan perwatakan setiap individu.


"Amanahnya perlu hidup dalam tutur dan tindakan, bermusyawarah dengan lapang dada, menegur dengan hikmah serta mendengar dengan rendah hati.


"Tidak berhujah sambil merobek tenunan ukhuwah dan tidak berbeza jalan hingga meruntuhkan jambatan persaudaraan, Insya-Allah," katanya.


Sultan Nazrin menyampaikan titah ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-75 di Putrajaya hari ini.


Baginda antara lain mengingatkan bahawa masyarakat Melayu dan umat Islam berdepan krisis adab yang tidak seharusnya dilihat sekadar soal kesopanan dan budi bahasa.


Sebaliknya adab turut merangkumi hubungan manusia dengan Allah SWT, sesama manusia, alam semula jadi serta diri sendiri, titah baginda.


Sultan Nazrin turut menekankan kepentingan budaya syura diterjemahkan dalam bentuk penghayatan dan pelaksanaan khususnya dalam mendepani perbezaan pandangan.


Pendekatan berkenaan selari dengan penegasan baginda sebelum ini bahawa syura membolehkan percambahan fikiran dan pertukaran pandangan berlaku dalam suasana tertib, sopan, profesional serta berdisiplin, selain menggalakkan sikap saling mendengar dan menghormati pandangan yang berbeza.


Sultan Nazrin juga pernah menegaskan bahawa usaha mempertemukan pendirian yang berbeza perlu diutamakan bagi mengelakkan pertelingkahan terbuka yang boleh membawa kepada keretakan hubungan dan perpecahan umat.


Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata titah Sultan Nazrin pada mesyuarat berkenaan begitu mengesankan khususnya dalam mengingatkan masyarakat mengenai kedudukan adab dalam kehidupan.


Beliau berkata adab bukan sekadar kesopanan atau budi bahasa malah merangkumi hubungan manusia dengan Allah SWT sesama manusia, alam semula jadi dan diri sendiri.


"Budaya syura dan adab perlu diterjemahkan dalam bentuk penghayatan dan pelaksanaan sebaiknya," katanya menerusi hantaran selepas menghadiri mesyuarat MKI ke-75.


Sultan Nazrin dipilih sebagai Pengerusi MKI bagi tempoh dua tahun bermula 10 Mac 2024 dan baginda sebelum ini turut menekankan bahawa MKI berperanan sebagai badan syura bagi mengusahakan penyatuan lebih kukuh dalam urusan hal ehwal agama Islam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page