Ibu pejabat Bersama: KEADILAN Puchong sedia jinakkan 'kancil'
- Redzuan Shamsudin
- 52 minutes ago
- 2 min read

KEADILAN Cabang Puchong menyatakan kesediaan menghadapi persaingan politik susulan cadangan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk membuka ibu pejabat parti baharu beliau di kawasan tersebut.
Ketua Cabang KEADILAN Puchong, Zaihasri Jaafar (gambar) berkata, pemilihan Puchong sebagai lokasi ibu pejabat parti berlogo 'kancil' itu adalah tepat memandangkan pengundinya terkenal sebagai kritikal dan menilai berdasarkan prestasi.
"Warga Puchong merupakan antara pengundi yang paling kritikal dan paling sukar dipengaruhi dengan slogan semata-mata. Mereka menilai pemimpin berdasarkan rekod, konsistensi dan penyampaian khidmat kepada masyarakat, bukannya populariti atau kempen bermusim," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, KEADILAN Puchong tidak gentar dengan sebarang bentuk persaingan politik dan sentiasa terbuka kepada pertandingan idea serta dasar.
"Kami tidak pernah takut kepada pertandingan idea dan dasar. Yang akan dinilai akhirnya ialah pihak yang terus bersama rakyat ketika susah dan siapa yang hanya muncul apabila tiba musim politik dan pilihanraya," ujarnya.
Beliau turut berharap kehadiran ibu pejabat parti baharu itu dapat memperkayakan wacana demokrasi di kawasan berkenaan.
"Kami berharap kehadiran ibu pejabat parti Rafizi di Puchong akan memperkayakan wacana demokrasi dan memberi ruang kepada rakyat membuat penilaian yang matang.
"Pada masa yang sama, kami yakin rakyat tidak mudah melupakan sejarah bahawa Reformasi dibina secara kolektif oleh ribuan pejuang, bukannya hasil usaha seorang individu," katanya.
Tambahnya, KEADILAN Puchong akan terus memperkukuh organisasi dan mendekati masyarakat dalam memperjuangkan agenda Reformasi.
"Politik tidak seharusnya menjadi pertandingan personaliti, tetapi pertandingan nilai, dasar dan kemampuan memikul amanah untuk rakyat," katanya.
Beliau turut menyifatkan cabaran tersebut sebagai satu persaingan terbuka dan rakyat akan menjadi hakim kepada prestasi ahli politik dari parti berkenaan.
"Kepada parti kancil, selamat datang ke Puchong. Bersedialah untuk dijinakkan. Biar rakyat menjadi hakim dan biar prestasi menjadi ukuran," tegasnya.
