Kekalahan PRN tiga negeri jadi iktibar


Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka perlu dijadikan iktibar untuk menilai semula hubungan politik dan strategi masa depan PH.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar) berkata, satu perkara yang turut perlu dinilai adalah sikap Umno yang memperlihatkan mereka bukanlah rakan sejati yang boleh diharapkan dalam perjuangan.
"Ada hikmah kekalahan Pilihan Raya Negeri di tiga negeri. Yang pasti Umno bukan kawan sejati.
"Ketika mereka kuat, kita caci dan dikhianati. Kita buat baik tak kena tempat, sendiri yang rugi," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau berkata, kesilapan memilih rakan politik boleh menyebabkan sesebuah parti menjadi mangsa sehingga kehilangan kuasa dan kepercayaan rakyat.
Katanya, mendapatkan kuasa dan amanah bukanlah perkara mudah, manakala usaha mendapatkannya semula selepas kehilangan kuasa jauh lebih sukar.
Mengulas lanjut, Fakhrulrazi mendakwa keadaan menjadi lebih mencabar apabila kuasa kembali kepada pihak yang disifatkannya sebagai pendokong penjenayah.
"Malangnya kuasa kembali kepada pendokong penjenayah maka lagi sukar untuk melawan, apatah lagi rakyat pun dah mula tak kisah dan membenci kita lebih daripada penjenayah akibat baik dan berhati-hati yang merugikan diri sendiri," katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan masih terdapat ruang untuk melakukan perubahan.
"Perjuangan kena tabah dan diteruskan walau akhirnya kita rebah.
"Tetapi ingat, rebah dalam perjuangan bukan bermakna kalah. Berundur, berdiam diri dan khianat adalah kekalahan sebenar dalam perjuangan," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya semua pihak menerima realiti keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka semalam dan segera melakukan pembaikan gerak kerja bagi memastikan perjuangan politik dapat diteruskan.




Comments