KEADILAN Sarikei turun padang, bantu penduduk akses bantuan kerajaan


KEADILAN Sarikei terus mempergiatkan usaha mendekati masyarakat menerusi perkhidmatan kaunter bergerak di Tamu Bintangor bagi membantu penduduk mendapatkan akses kepada pelbagai bantuan kewangan dan kebajikan kerajaan.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, inisiatif itu bertujuan membantu masyarakat, khususnya golongan memerlukan, membuat permohonan baharu, mengemas kini maklumat serta menyemak kelayakan bantuan yang disediakan Kerajaan MADANI dan agensi berkaitan.
Menurutnya, masih terdapat penduduk yang belum menerima atau memanfaatkan bantuan kerajaan walaupun berkemungkinan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
"Situasi ini menunjukkan bahawa usaha penyampaian maklumat dan pendekatan secara langsung kepada masyarakat masih perlu dipertingkatkan.
"Bagi sesetengah golongan, kekangan akses kepada maklumat, kesukaran memahami prosedur permohonan serta urusan dokumentasi menjadi antara cabaran yang menyebabkan mereka tercicir daripada menerima bantuan," katanya dalam kenyataan di media sosial.

Antara perkhidmatan disediakan termasuk permohonan dan kemas kini Sumbangan Tunai Rahmah (STR), semakan akaun Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta bantuan pekebun kecil bagi komoditi lada, getah, koko dan sawit melalui Agri-Komoditi.
Kaunter itu turut menyediakan semakan kelayakan mySalam, Program PEKA B40, Skim Kredit Sarawak (SKAS), pendaftaran Kenyalang Gold Card (KGC) bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas dan Skim Kesihatan Warga Emas (SCHB).
Selain itu, penduduk boleh mendapatkan maklumat mengenai Geran Sejahtera MADANI, status pendaftaran e-Kasih, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta pelbagai bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ini termasuk Bantuan Orang Tua (BOT), Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), Bantuan Penjagaan Pesakit Terlantar dan Bantuan Kanak-Kanak (BKK).
Perkhidmatan berkenaan turut merangkumi semakan tempat mengundi dan kelayakan bantuan FlySiswa sebanyak RM500 bagi pelajar universiti yang memenuhi syarat.
Bruce berkata, KEADILAN Sarikei akan meneruskan program kaunter bergerak dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan luar bandar dan kampung yang memerlukan perhatian.
Katanya, usaha itu bukan sekadar membantu urusan permohonan bantuan, malah menjadi ruang untuk mendengar keluhan penduduk, mengenal pasti masalah di peringkat akar umbi dan membantu menyelesaikan isu yang telah lama tertangguh.
"Kami bukan sahaja berhasrat membantu masyarakat dalam urusan permohonan dan semakan bantuan, malah turut komited untuk mendengar keluhan, mengenal pasti masalah di peringkat akar umbi serta berusaha membantu menyelesaikan isu-isu yang telah lama tertangguh.
"Bagi KEADILAN Sarikei, khidmat kepada rakyat bukan sekadar ketika musim pilihan raya, tetapi merupakan tanggungjawab berterusan yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, komitmen dan rasa prihatin," katanya.
Beliau menegaskan setiap rakyat yang layak berhak mendapat akses kepada bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.




Comments