top of page

RT Mega Gathering 3.0 himpunkan 500 motorsikal BMW, sasar rekod kebangsaan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
39 minutes ago
2 min read
500 penunggang motosikal BMW RT dari Malaysia dan Singapura berkumpul di litar Sepang
500 penunggang motosikal BMW RT dari Malaysia dan Singapura berkumpul di litar Sepang

Seramai 500 penunggang motosikal BMW RT dari Malaysia dan Singapura menyertai program RT Mega Gathering 3.0 (RTMG 3.0) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA, semalam.


Program anjuran Reise Tour Association Community Malaysia (RTAC) itu menghimpunkan 480 penunggang tempatan dan 20 penunggang dari Singapura, selain 219 pembonceng, menjadikan keseluruhan penyertaan seramai 719 orang.


Penganjuran kali ketiga ini turut mencatat satu pencapaian penting apabila mendapat kelulusan untuk percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Largest Gathering of BMW RT Motorcycles”, iaitu perhimpunan motosikal BMW RT terbesar di Malaysia.


Percubaan rekod berkenaan melibatkan 500 motosikal BMW RT, melebihi sasaran minimum 400 unit yang ditetapkan dalam surat kelulusan MBOR bertarikh 2 Oktober 2026.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurnakan pelepasan konvoi motosikal BMW RT di Litar Antarabangsa Sepang serta menerima replika sijil pengiktirafan MBOR.


Dalam hantaran di Facebooknya, Saifuddin berkata acara berkenaan mampu mengeratkan hubungan merentas latar belakang dan sempadan negara apabila turut melibatkan pemilik motorsikal dari seberang Selat Tebrau.


"Saya sendiri dapat menyaksikan semangat kebersamaan, disiplin dan persaudaraan yang begitu kuat dalam kalangan komuniti ini.


"Bagi saya, acara seperti ini bukan sekadar menghimpunkan pemilik motosikal yang berkongsi minat sama, tetapi turut menjadi platform mengeratkan hubungan merentas latar belakang dan sempadan negara, di samping memupuk budaya tunggangan yang selamat dan bertanggungjawab," katanya.


Galak penyertaan pemilik motorsikal


Sebagai persediaan menjelang RTMG 3.0, pihak penganjur telah melaksanakan tiga siri Road Tour bagi menggalakkan penyertaan pemilik motosikal BMW RT dari seluruh negara.

DS Saifuddin bersalam dengan pemilik motor
DS Saifuddin bersalam dengan pemilik motor

Siri jelajah tersebut melibatkan Road Tour ke Selatan di Muar, Johor dengan penyertaan 100 motosikal BMW RT; Road Tour ke Utara di Pulau Pinang melibatkan 120 motosikal; serta Road Tour ke Timur di Kuala Terengganu yang menghimpunkan 140 motosikal.


Antara pengisian utama RTMG 3.0 ialah perhimpunan dan pameran motosikal, pameran aksesori serta produk permotoran, sesi SIC Parade, penyampaian pengiktirafan MBOR, persembahan pentas dan majlis makan malam.


Sebanyak lima model motosikal BMW RT mengambil bahagian, terdiri daripada 180 unit RT1250, 106 unit RTAC, 100 unit RT1300, 90 unit RTLC1200 dan 24 unit K1600.


Acara kemuncak pada sebelah petang melibatkan penyusunan motosikal BMW RT di starting grid SIC bagi percubaan rekod MBOR, diikuti pergerakan konvoi di litar berkenaan.


Majlis makan malam pada sebelah malam pula berlangsung di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA dengan acara penyampaian sijil MBOR, penghargaan kepada rakan strategik serta cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM93,000.


Penganjuran RTMG 3.0 turut mendapat kerjasama PETRONAS Sprinta dan Rasniaga Motorsports sebagai rakan strategik utama, selain penglibatan Sepang International Circuit sebagai lokasi acara permotoran.


Selain memperkukuh jaringan komuniti BMW RT, program berkenaan turut menyediakan ruang kepada usahawan dan pemain industri automotif untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada peserta.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page