Separuh hukuman secara tahanan rumah: SEKPUR sokong cadangan Mohamad Sabu


Kita menghargai komitmen ini. Pada pandangan kami, sistem keadilan yang baik bukan semata-mata bertujuan menghukum seseorang atas kesalahan yang dilakukan
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu agar banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan baki separuh lagi melalui tahanan di rumah sebagai pendekatan pembaharuan sistem keadilan yang lebih berperikemanusiaan.
Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun berkata cadangan itu wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan, penggubal undang-undang dan pengamal perundangan kerana menekankan keseimbangan antara prinsip keadilan, kemanusiaan serta peluang pemulihan kepada banduan.
Beliau berkata, Mohamad turut menunjukkan komitmen terhadap cadangan berkenaan apabila menawarkan keseluruhan gaji bulanannya sebanyak RM11,900 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelaksanaan mekanisme tahanan rumah sehingga pembubaran Parlimen bagi penggal semasa.
"SEKPUR melihat tindakan tersebut sebagai satu bentuk kesungguhan untuk menggerakkan perbahasan awam dan usaha masyarakat sivil bagi memperjuangkan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.
"Kita menghargai komitmen ini. Pada pandangan kami, sistem keadilan yang baik bukan semata-mata bertujuan menghukum seseorang atas kesalahan yang dilakukan.
"Ia juga harus menyediakan ruang untuk pemulihan, pembentukan semula jati diri dan peluang kepada seseorang pesalah untuk kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif.
"Kita perlu melihat realiti bahawa tidak semua banduan mempunyai tahap risiko keselamatan yang sama," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, SEKPUR berpandangan cadangan tersebut tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa kajian perundangan, pentadbiran dan keselamatan yang menyeluruh.
Gubal undang undang tahanan rumah
Oleh yang demikian, SEKPUR tampil mengemukakan beberapa syor penting seperti menggubal atau memperkemas undang-undang berkaitan tahanan rumah dan kerajaan menyelesaikan kerangka perundangan khusus bagi membolehkan mekanisme tahanan rumah dilaksanakan secara sah, telus dan konsisten.
"Ini termasuk meneliti Akta Penjara 1995, peruntukan berkaitan parol, peraturan penjara serta undang-undang lain yang mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung dengan pelaksanaan hukuman.
"Seterusnya menubuhkan mekanisme penilaian kelayakan yang bebas dan profesional kerana tidak semua banduan semestinya layak secara automatik.
"Syor ketiga ialah memperkenalkan pemantauan elektronik seperti penggunaan gelang elektronik, sistem GPS jika sesuai, pemeriksaan mengejut dan pemantauan berkala oleh Jabatan Penjara atau agensi yang diberi kuasa perlu menjadi sebahagian daripada pelaksanaan," ujar beliau.
Cadangan seterusnya kata Shahbudin ialah memastikan kepentingan mangsa dan keluarga terus dilindungi kerana keadilan kepada banduan tidak boleh mengabaikan hak mangsa jenayah.
Selain itu ujarnya, kerajaan juga perlu menilai kemampuan logistik dan kewangan antaraya berhubung kos pemasangan alat pemantauan, pusat kawalan, tenaga kerja, penguatkuasaan, lawatan pemeriksaan serta pengurusan kes pelanggaran syarat.
"Syor keenam ialah menyediakan program pemulihan dan integrasi semula. Banduan yang menjalani tahanan rumah hendaklah mengikuti program kaunseling, latihan kemahiran, pekerjaan, pendidikan dan pembangunan keluarga mengikut kesesuaian.
"Akhir sekali melaksanakan secara berperingkat dan melalui kajian rintis. SEKPUR mencadangkan supaya kerajaan memulakan program perintis dengan kumpulan banduan yang memenuhi kriteria tertentu sebelum diperluaskan berdasarkan hasil penilaian.
"Dalam keadaan tertentu, pelaksanaan tahanan rumah secara terkawal boleh menjadi satu pendekatan yang lebih berkesan berbanding mengekalkan seseorang banduan di dalam penjara sehingga tamat keseluruhan tempoh hukumannya.
"Namun, SEKPUR ingin menegaskan bahawa cadangan ini bukan bermaksud memberikan kebebasan mutlak kepada banduan atau mengurangkan kepentingan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.
"Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk pelaksanaan hukuman secara berperingkat, dengan pemantauan ketat, penilaian risiko dan syarat undang-undang yang jelas," kata Shahbudin yang juga Pengerusi Biro Kepimpinan dan Pentadbiran Kerajaan Majlis Perundingan Melayu (MPM).




Comments