Kejayaan diplomasi MADANI tingkat peranan Malaysia di pentas global
- Suara Keadilan
- 46 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pendekatan diplomasi berprinsip yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) membuahkan hasil apabila hubungan Malaysia–Amerika Syarikat (AS) mencapai kejayaan bersejarah melalui perluasan akses perdagangan bebas tarif dan pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan Malaysia sebagai pendamai serantau.
Ahli Dewan Negara Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata perkembangan itu membuktikan dasar luar kerajaan Madani bukan sahaja membawa suara Malaysia ke pentas global malah memberi manfaat langsung kepada ekonomi rakyat.
"Amerika Syarikat kini memberikan akses bebas tarif kepada 1,711 produk Malaysia. Ini langkah bersejarah yang akan membuka ruang ekonomi baharu untuk negara kita," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abun keputusan itu lahir daripada hubungan kukuh dan dialog konstruktif antara kedua-dua negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar yang menekankan prinsip perdagangan adil dan saling menghormati.
"Ia bukan hanya kejayaan diplomatik tetapi bukti keberkesanan kepimpinan PMX yang menyeimbangkan kepentingan rakyat dengan hubungan antarabangsa," katanya.
Abun menjelaskan langkah tersebut akan memperkukuh sektor pembuatan, elektronik, pertanian dan industri halal Malaysia, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menjadikan Malaysia sebagai rakan dagang global utama.
Dalam masa sama, beliau turut memuji pengiktirafan rasmi oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap peranan Malaysia dalam memudahkan proses damai antara Kemboja dan Thailand.
"Presiden AS secara peribadi memuji YAB Perdana Menteri atas peranan Malaysia dalam memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau. Ia pengiktirafan besar kepada dasar luar MADANI yang neutral, matang dan berprinsip," tegasnya.
Abun berkata pengiktirafan dari Rumah Putih itu membuktikan keyakinan dunia terhadap pendekatan diplomasi Malaysia yang mengutamakan nilai, bukan kepentingan sempit.
"Ini bukan sekadar penghargaan kepada Perdana Menteri tetapi pengiktirafan terhadap falsafah Malaysia iaitu "kemakmuran untuk semua".
"Dunia melihat Malaysia sebagai suara rasional dan pembina jambatan, bukan pemain kecil dalam geopolitik," katanya.
Beliau yakin kejayaan perdagangan dan diplomasi ini akan menjadi asas kukuh kepada hubungan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat yang lebih dinamik, selaras dengan visi Malaysia sebagai peneraju keamanan dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik.
"PMX membuktikan bahawa apabila diplomasi berasaskan nilai diterjemah dalam tindakan, hasilnya ialah kesejahteraan rakyat dan penghormatan dunia," ujar Abun.





