Kehadiran Trump, diplomasi 'soft power' kebijaksanaan Kerajaan Madani
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pendekatan diplomasi berteraskan 'soft power' terus menjadi teras kebijaksanaan Kerajaan MADANI dalam mengekalkan kemaslahatan dan pendirian terhadap isu-isu antarabangsa.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan berkata, sejak pagi semalam ramai yang mengulas kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump ke negara ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 pada Ahad.
Katanya, ramai juga yang teruja cara Trump berinteraksi dengan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wajah ceria meskipun beliau sudah maklum pendirian tegas Malaysia terhadap isu Gaza.
''Ada bezanya antara Trump dan Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel)? Bezanya adalah seperti pemain bola dan penaja pasukan.
''Apa pula bezanya antara PM Singapura, Lawrence Wong dan Trump? Kedua-dua negara itu (AS dan Singapura) berdagang dengan Israel, mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan tidak mengiktiraf Palestin.

''Jangan kita lupa Australia, Jepun dan Turkiye. Semua negara itu mempunyai hubungan dengan Israel dalam pelbagai bentuk dan darjah kepentingan.
''Di sinilah letaknya kebijaksanaan dan hikmah dalam negara kita menggerakkan 'soft power' diplomasi. Kemaslahatan kita terjaga dan pada masa yang sama pendirian kita dipertahankan,'' katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Amidi lagi, kenyataannya tidak bermaksud menormalisasi isu penderitaan rakyat Palestin, sebaliknya bertujuan memahami strategi dan seni pendekatan diplomasi.
Katanya, AS telah lama menjadi rakan dagang Malaysia, namun negara ini tetap tidak menyokong pendirian Washington terhadap isu Palestin meskipun ia merupakan antara rakan dagangan terbesar Malaysia.
Namun atas prinsip diplomasi, adalah wajar bagi Malaysia menyambut rakan dagang rantau Asia Tenggara dengan cara yang baik tanpa membezakan istiadatnya.
''Kehangatan sambutan bukan bermaksud kita bergembira bersama musuh Palestin.
''Itulah juga bahasa diplomasi Rasulullah SAW ketika mengutus surat kepada ketua-ketua negara seperti Raja Heraklius (Byzantine), Raja Kisra (Parsi) dalam menyampaikan mesej keamanan, persaudaraan sejagat walau berbeza akidah.
''Setakat ini, konsistensi Malaysia dalam membela dan mempertahankan perjuangan rakyat Palestin diakui oleh pihak Timur dan Barat, namun pada masa sama kita tidak kehilangan kepentingan negara dan serantau,'' katanya lagi.
Untuk rekod, kehadiran Trump sentiasa menjadi modal politik untuk menghitamkan imej PM Anwar oleh pembangkang, terutamanya Pas yang menganjurkan tunjuk perasaan bantahan di hadapan Kedutaan AS sehari sebelum kedatangan pemimpin Uncle Sam itu menghadiri sidang ASEAN.









Comments