top of page

KEADILAN sokong pendirian PM sokong Palestin, tolak memihak kepentingan Israel

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
31 minutes ago
2 min read
 Dr Maszlee Malik. Gambar arkib
 Dr Maszlee Malik. Gambar arkib

Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyokong pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia serta pendirian berprinsip negara terhadap Palestin.


Pengerusinya, Dr Maszlee Malik berkata, KEADILAN menyokong pendirian bahawa Malaysia tidak akan membenarkan negara ini dijadikan laluan bagi sebarang penghantaran yang menyokong atau menyumbang kepada keupayaan ketenteraan Israel serta tindakan yang mengancam nyawa rakyat Palestin dan orang awam.


"Biro Antarabangsa KEADILAN menyatakan sokongan terhadap pendirian tegas Perdana Menteri bahawa Malaysia tidak akan membenarkan negara ini dijadikan laluan bagi sebarang penghantaran yang menyokong atau menyumbang kepada keupayaan ketenteraan Israel serta tindakan yang mengancam nyawa rakyat Palestin dan orang awam," katanya dalam kenyataan media.


Menurut Maszlee, pendirian berkenaan mencerminkan hak Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat untuk memastikan wilayah dan kemudahan logistiknya digunakan selaras dengan undang-undang serta dasar negara.


"KEADILAN juga menyambut baik penegasan Kerajaan Malaysia bahawa sebarang penghantaran yang mencurigakan akan diperiksa dan disiasat mengikut undang-undang Malaysia, dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pelanggaran dibuktikan," katanya.


Sehubungan itu, Biro Antarabangsa KEADILAN menegaskan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan pendirian berprinsip Malaysia mengenai Palestin.


Parti itu turut menyeru komuniti antarabangsa memperketat pengawasan terhadap laluan transit dan rantaian bekalan bagi mengelakkan kegiatan ketenteraan yang menyalahi undang-undang daripada dipermudah.


Selain itu, KEADILAN menggesa tindakan antarabangsa yang konkrit, sah dan boleh dikuatkuasakan bagi memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa.


Dalam kenyataan sama, KEADILAN menegaskan solidariti bersama rakyat Palestin dalam memperjuangkan kebebasan, keadilan, maruah dan hak menentukan hala tuju sendiri.


"Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin dan menyokong hak mereka untuk menentukan hala tuju sendiri serta pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat," katanya.


Dr Maszlee menegaskan hak Malaysia untuk memastikan wilayah dan infrastrukturnya tidak disalahgunakan pada bila bila masa.


"Kedaulatan negara mesti dihormati. Undang-undang mesti ditegakkan. Malaysia tidak boleh menjadi laluan kepada penindasan terhadap rakyat Palestin," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page