top of page

KEADILAN ditubuhkan menongkah arus, bawa politik tanpa asas kaum — Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan parti itu diasaskan daripada pengalaman perjuangan yang penuh getir, termasuk menghadapi tekanan, penghinaan dan kecaman dalam usaha membawa politik Malaysia yang tidak berasaskan kaum.


Menurut beliau, penubuhan KEADILAN merupakan usaha menongkah arus politik ketika gagasan parti yang tidak berteraskan kaum dilihat sukar untuk berkembang dalam landskap politik negara.


"Parti ini diasaskan dari perit getir, dari dewan ke jalanan. Diserbu, dihina, dicerca saban hari. Ini menongkah arus. Malaysia tidak boleh tertegak sebagai parti yang tidak berasaskan kaum. Tetapi kita menongkah arus," katanya dalam Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, Melaka.


Anwar berkata, berbeza dengan parti-parti dari Semenanjung yang menurutnya jarang membicarakan kepentingan Sabah dan Sarawak kecuali ketika musim pilihanraya, KEADILAN sejak awal berusaha membentuk parti yang meletakkan kepentingan rakyat di Borneo sebagai sebahagian perjuangan.


Beliau turut mengimbau usaha Allahyarham Datuk Onn Jaafar yang pernah mencetuskan gagasan politik merentasi kaum selepas meninggalkan Umno pada 1950an, dengan membawa idea politik merangkumi semua kaum di Tanah Melayu.


"Percubaan yang paling terkesan ialah Almarhum Dato’ Onn cuba pada ketika itu, pilih tinggal Umno, lakar satu gagasan bangsa negara, Tanah Melayu yang diwakili semua kaum," katanya.


Anwar berkata beliau menyedari keputusan untuk membentuk Parti Keadilan Nasional sebelum bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia bagi membentuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bukanlah satu keputusan yang mudah.


"Saya tidak naif bila melakar keputusan Parti Keadilan pada waktu itu, sebelum bergabung dengan Parti Rakyat jadi Parti Keadilan Rakyat.


"Ramai memesan kepada saya, ini impian jernih tetapi tidak jejak di bumi nyata. Tetapi kita terutama kalangan anak muda masa itu degil, mahu buktikan Malaysia berpolitik telah matang," katanya.


Menurut Anwar, perjuangan politik di Semenanjung tidak seharusnya meminggirkan Sabah dan Sarawak, manakala politik berteraskan Melayu pula tidak boleh mengenepikan masyarakat Cina, India, Orang Asli serta kumpulan minoriti lain.


Beliau berkata perjuangan tersebut akhirnya menempa sejarah apabila gagasan berkenaan dizahirkan melalui Perisytiharan Permatang Pauh, namun mengakui perjalanan reformasi dan perubahan yang diperjuangkan masih belum selesai.


"Dan kita menempa sejarah. Mudah? Tidak. Sudah beres? Belum. Tetapi itulah kenyataan bila kita umumkan dalam Perisytiharan Permatang Pauh," katanya.


Anwar turut menegaskan bahawa perjuangan membawa perubahan bukanlah melakukan perubahan secara serta-merta selepas memperoleh kuasa, sebaliknya berpijak pada usaha yang mampu dilaksanakan.


"Tidak terlalu idealistik, tidak terlalu bercita-cita tinggi sebabnya, "perubahan sedaya upaya aku". Bukan perubahan esok. Bukan reformasi, sebaik berkuasa laksanakan perubahan esok.


"Tidak. Sedaya upaya. Itu doa Nabi Syuib, apa lagi kita yang kerdil ini," katanya.


Beliau berkata, tekad memperjuangkan demokrasi, menentang ketidakadilan serta menolak prasangka berasaskan kaum dan agama telah menjadi asas perjuangan KEADILAN sejak penubuhannya.


Sehubungan itu, Anwar menyeru generasi kedua dan ketiga KEADILAN supaya terus menghayati semangat asal perjuangan parti serta tidak memilih jalan mudah dalam memperjuangkan perubahan.


"Sebab itu bagi anak muda yang menyertai KEADILAN, generasi kedua dan ketiga harus menghadap semangat ini. Kita tidak pilih jalan mudah. Tetapi kita bergerak dengan keyakinan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page