JS-SEZ catat pelaburan RM76 b, usaha Kerajaan MADANI tingkatkan ekonomi Johor
- Akmal Manaf

- Jul 3
- 2 min read

Kerajaan Persekutuan kekal komited menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai agenda ekonomi nasional yang meletakkan Johor sebagai pemacu pertumbuhan baharu negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun Pelan Induk JS-SEZ masih dalam proses penyelarasan, pelaksanaan projek strategik itu terus berjalan rancak apabila merekodkan RM76.98 bilion pelaburan diluluskan Kerajaan MADANI sepanjang 2025 dengan 57% daripadanya telah memasuki fasa pelaksanaan sebenar.
"Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Johor dan agensi pelaksana terus menggerakkan usaha pemudahcaraan pelaburan, pembangunan infrastruktur, bakat, tenaga, kastam, imigresen dan kesalinghubungan rentas sempadan.

"Pada tahun 2025 sahaja, JS-SEZ mencatat RM76.98 bilion pelaburan diluluskan. 57% daripada jumlah kumulatif pelaburan yang diluluskan sehingga kini sudah bergerak ke peringkat pelaksanaan.
"Bagi suku pertama 2026, JS-SEZ turut mencatat RM5.49 bilion pelaburan diluluskan. Dari Januari hingga Mei 2026, IMFC-J telah menguruskan 285 pertanyaan pelaburan dengan potensi pelaburan terkumpul dikenal pasti berjumlah RM74.12 bilion.
"Angka ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap JS-SEZ kekal kukuh dan manfaat JS-SEZ sedang diterjemahkan kepada projek sebenar, bukan sekadar kekal sebagai blueprint," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam kenyataan satu kenyataan Kementerian Ekonomi pula, dimaklumkan bahawa usaha libat urus bersama pelabur dan rakan strategik terus diperkukuhkan termasuk penganjuran JS-SEZ Executive Forum yang berlangsung pada 1 Julai lalu yang turut dihadiri Akmal Nasrullah.
"Kehadiran Menteri Ekonomi menunjukkan kerjasama serius Malaysia dengan Itali dan Eropah. Selain itu, siri pertemuan bersama delegasi dari Perancis, Jerman, negara-negara Nordic, Taiwan, Kanada, serta wakil diplomatik dari 35 negara yang berpangkalan di Singapura turut diadakan.
"Rantaian bekalan terus diperkukuhkan melalui program Micron–OCBC JS-SEZ Supplier Event 2026 yang membawa 30 pembekal dari Korea, Jepun dan Taiwan ke Johor bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama industri tempatan dan persediaan operasi Johor-Singapore Rapid Transit System (RTS) membuktikan agenda pembangunan JS-SEZ bergerak mengikut perancangan dan akan terus dipacu secara konsisten.
"Kerajaan Persekutuan tidak pernah berkompromi dalam soal masa depan Johor. Fokus ketika ini adalah memastikan Pelan Induk JS-SEZ dilancarkan pada masa yang tepat, dengan asas pelaksanaan yang kukuh dan mampu memberikan manfaat berkekalan kepada rakyat Johor, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta mengangkat negeri ini sebagai hab ekonomi dan pelaburan utama serantau," kata kementerian itu.




Comments