Johor akan dibangunkan secara menyeluruh jika PH diberi mandat
- Redzuan Shamsudin

- Jun 21
- 2 min read

Negeri Johor akan dibangunkan secara lebih menyeluruh dan seimbang sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 11 Julai ini, kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, perubahan perlu dilaksanakan bagi memastikan Bangsa Johor mendapat keadilan serta pembelaan yang lebih saksama, termasuk dari segi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan hidup.
"Sebab itu PH nak jadikan negeri Johor bukan hanya dibanggakan maju. Tetapi PH kalau diberi amanah dalam PRN ini maka orang Segamat bangga kerana akan maju.
"Kawasan utara Johor akan maju, kawasan tengah Johor akan maju, kawasan selatan akan maju, seluruh Johor akan dimajukan," katanya ketika berucap dalam ceramah perdana "Johor Ke Depan, Undi Harapan", di Segamat, malam tadi.
Menurut beliau, walaupun Kerajaan Negeri sedia ada dilihat berusaha, PH berpendapat Johor berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih baik dan menyeluruh.
"Kita lihat perbezaan, Johor Bahru, kadar pendapatannya (gaji) secara menegah lebih kurang RM8,000. Kalau banding dengan Gombak, kawasan parlimen saya, RM10,000 gaji penengah.
"Kampung saya Benut, gaji menengah RM4,000. Berapa jauh Benut dari Johor Bahru? Satu jam perjalanan. Dalam satu jam setengah hampir separuh gaji orang Benut dengan Johor Bahru (JB).
"Sebab yang 'gila' nak dibangunkan satu tempat (JB) tetapi yang ditinggalkan tempat lain. Orang lain dipaksa rela untuk percaya inilah kemajuan negeri," katanya.
Amirudin berkata, pelbagai inisiatif diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan seperti Zon Ekonomi Johor-Singapura dan projek infrastruktur termasuk sambungan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di negeri itu dijangka mampu merancakkan pembangunan.
"Kerajaan Madani mewujudkan Zon Ekonomi Johor-Singapura, melaksanakan beberapa projek, malahan dalam Belanjawan 2026 Kerajaan Persekutuan menyambung lebuh raya WCE dari Banting, Selangor sampai ke Gelang Patah untuk memekarkan pembangunan termasuk di Johor dan negeri selatan," katanya.
Oleh itu, kata beliau, PH menawarkan alternatif kepimpinan negeri yang lebih berfokus kepada perancangan menyeluruh dan pembangunan inklusif.
"PH mahu menjadikan Johor negeri paling ke hadapan, bukan sekadar bangga dengan angka pelaburan tetapi memastikan manfaatnya dirasai semua rakyat," katanya.
Beliau menambah, sekiranya diberi amanah, PH komited untuk merangka pelan pembangunan yang lebih jelas bagi setiap kawasan termasuk Segamat dan Muar.
"Sebab itu kita nak membawa harapan, keadilan kepada Bangsa Johor. Orang Segamat ada masalah kita tangani. Orang Segamat perlu mendapat kemajuan sama dengan Johor Bahru. Kemajuan Segamat perlu setanding dan perlu dibangunkan, kalau belum sampai, perlu ada rancangannya.
"Selama saya dengar, rencana dari pentadbiran sedia ada, saya tak nampak.... Tak dengar rencana sungguh sungguh Segamat nak jadi apa? Muar nak jadi bagaimana? Mungkin ada disebut Pelabuhan Maharani tetapi tak ada rencana menyeluruh," katanya lagi.
Untuk rekod, PH menawarkan pembangunan yang lebih menyebar ke sub bandar dan luar bandar dalam PRN Johor kali ini, berbanding kemajuan yang diwujudkan kerajaan BN Johor yang lebih berpusat di Johor Bahru (JB Centric) dan Pasir Gudang.




Comments