Jerebu: Warga Malaysia lantik peguam, pertimbang saman kerajaan Indonesia


Susulan kejadian jerebu rentas sempadan berasal dari kebakaran terbuka di Indonesia, seorang warganegara Malaysia, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar melantik firma guaman Indonesia, MZA Partners, bagi meneliti tindakan undang-undang terhadap kerajaan negara itu berhubung isu jerebu yang berulang saban tahun.
Fakhrulrazi yang juga mantan Ahli Dewan Negeri Meru berkata, tindakan itu termasuk mempertimbangkan pemfailan saman sivil oleh rakyat (Citizen Lawsuit) bagi menuntut akauntabiliti berhubung pencemaran udara yang menjejaskan kesihatan awam dan kehidupan masyarakat.
"Saya telah melantik peguam dari Indonesia melalui firma guaman law firm MZA PARTNERS, yang diketuai oleh Muhamad Zainul Arifin, S.H., M.H., PhD, bagi meneliti dan mengambil langkah undang-undang yang bersesuaian, termasuk mempertimbangkan pemfailan tindakan Citizen Lawsuit terhadap pihak kerajaan Indonesia berhubung krisis jerebu rentas sempadan yang berulang dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ust Fakhrulrazi berkata, keputusan itu dibuat atas keprihatinan terhadap kesan pencemaran udara rentas sempadan terhadap kesihatan, pendidikan anak-anak, kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Menurutnya, kesan jerebu bukan sahaja ditanggung rakyat Malaysia, malah turut menjejaskan masyarakat Indonesia, terutama penduduk di kawasan yang terlibat dengan kebakaran hutan dan tanah gambut.
Beliau berkata, jerebu boleh meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti batuk, sesak nafas, serangan asma serta kerengsaan mata dan tekak, selain memburukkan keadaan individu yang mempunyai penyakit pernafasan atau penyakit kronik.
"Kanak-kanak, warga emas, wanita hamil dan golongan yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada merupakan antara kumpulan yang lebih berisiko," ujarnya.
Beliau turut membangkitkan kesan ekonomi akibat pencemaran udara, termasuk gangguan terhadap sektor pertanian, perladangan, pelancongan, pengangkutan dan perniagaan kecil.
Katanya, keadaan jerebu boleh menyebabkan pekerja mengurangkan waktu bekerja, peniaga kehilangan pelanggan serta keluarga menanggung kos tambahan bagi rawatan perubatan dan langkah perlindungan kesihatan.
Di Malaysia, katanya, aktiviti harian dan persekolahan juga terjejas, manakala perjalanan udara, pengangkutan serta produktiviti pekerja berpotensi menerima kesan apabila kualiti udara merosot.
Fakhrulrazi berkata, kesan berpanjangan turut perlu dinilai dari sudut kesejahteraan mental, khususnya kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak dan keluarga yang mempunyai ahli berpenyakit kronik.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha yang dirancang akan meneliti rekod rasmi kualiti udara, termasuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terjejas, selain keperluan mengenal pasti punca kebakaran hutan dan tanah melalui siasatan telus.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaksanaan komitmen serantau, termasuk Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution) yang ditandatangani pada 2002.
"Keperluan mengenal pasti punca kebakaran hutan dan tanah melalui siasatan yang telus serta memastikan mana-mana pihak yang terbukti bertanggungjawab dikenakan tindakan menurut undang-undang," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha itu bukan didorong kebencian terhadap Indonesia atau rakyatnya, sebaliknya bertujuan memperjuangkan keadilan alam sekitar.
"Saya ingin menegaskan bahawa usaha ini bukan didorong oleh kebencian terhadap Indonesia atau rakyatnya. Malaysia dan Indonesia merupakan negara jiran yang mempunyai hubungan sejarah, budaya, bahasa dan kekeluargaan yang rapat.
"Sebaliknya, saya melihat isu ini sebagai kepentingan bersama rakyat kedua-dua negara. Rakyat Indonesia sendiri berhak menikmati udara yang bersih, persekitaran yang selamat, perlindungan kesihatan dan peluang ekonomi yang tidak terjejas akibat pencemaran udara," tegasnya.
Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia dan Indonesia memperkukuh kerjasama diplomatik, penguatkuasaan undang-undang, pemantauan kualiti udara serta mekanisme pencegahan kebakaran bagi mengelakkan rakyat kedua-dua negara terus menanggung kesan jerebu.
Dalam perkembangan berkaitan, Fakhrulrazi membuka ruang kepada warganegara Malaysia yang terjejas akibat jerebu rentas sempadan dan mempunyai bukti kerugian untuk menghubunginya bagi membincangkan kemungkinan menyertai tindakan itu sebagai plaintif bersama.
Bagaimanapun, penyertaan berkenaan tertakluk kepada penilaian peguam, bidang kuasa mahkamah dan syarat undang-undang yang berkenaan.
Antara dokumen yang boleh dikemukakan bagi penilaian awal ialah rekod rawatan perubatan, bukti gangguan persekolahan, rekod kualiti udara serta dokumen berkaitan kehilangan pendapatan dan kerugian lain.
Beliau berharap usaha berkenaan dapat membuka ruang kepada penyelesaian yang adil, berkesan dan berkekalan demi kepentingan rakyat Malaysia, Indonesia serta generasi akan datang.
"Semoga usaha ini dapat membuka ruang kepada penyelesaian yang adil, berkesan dan berkekalan demi kepentingan rakyat Malaysia, rakyat Indonesia dan generasi akan datang," katanya lagi.



Comments