Jerebu rentas sempadan: Saman Fakhrulrazi terhadap kerajaan Indonesia bermula


Terkesan dengan jerebu rentas sempadan yang tidak kunjung berakhir, mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar memulakan tindakan undang-undang terhadap pemerintah dan pihak berwajib Indonesia berhubung isu tersebut.
Beliau berkata, tindakan itu diambil atas kapasiti individu sebagai warga Malaysia yang prihatin terhadap kesan jerebu terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat negara ini.
"Atas sifat tanggungjawab dan sayang kepada rakyat dan negara Malaysia, saya mengambil risiko dan inisiatif untuk memulakan tindakan," katanya dalam kenyataan.
Fakhrulrazi berkata, beliau amat memerlukan sokongan kewangan, kerjasama dan sokongan moral bagi memastikan usaha berkenaan dapat diteruskan serta mencapai matlamatnya.

"Secara jujur saya amat perlukan sokongan kewangan dan sokongan kerjasama dan moral atas kejayaan usaha ini. Mungkin tak besar tapi boleh menggegar sekiranya kita berjaya," katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, tindakan undang-undang itu bukan bertujuan untuk membenci atau memusuhi Indonesia, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan.
Menurutnya, tindakan itu turut didorong rasa simpati terhadap rakyat Indonesia sendiri yang disifatkan sebagai antara pihak paling teruk terkesan akibat masalah berkenaan.
"Suka saya tegaskan ini bukan bermakna saya membenci atau memusuhi Indonesia tetapi sebagai langkah mencegah dan simpati bukan sahaja kepada warga Malaysia tetapi warga Indonesia sendiri yang paling teruk terkesan akibat kelemahan dan pembakaran terbuka tanpa kawalan ini," katanya.
Fakhrulrazi berharap tindakan berkenaan dapat memberikan kesan positif dalam usaha menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berulang kali menjejaskan kehidupan masyarakat di rantau ini.
Minggu lalu, Fakhrulrazi melantik firma guaman Indonesia, MZA Partners, bagi meneliti tindakan undang-undang terhadap kerajaan negara itu berhubung isu jerebu rentas sempadan yang berulang saban tahun.
Beliau berkata, telah mempertimbangkan pemfailan saman sivil oleh rakyat (Citizen Lawsuit) bagi menuntut akauntabiliti berhubung pencemaran udara yang menjejaskan kesihatan awam dan kehidupan masyarakat di Malaysia.




Comments