top of page

Istiadat Penzahiran Undang Jelebu: Tuanku Muhriz, institusi beraja NS kekal berdaulat

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 hours ago
1 min read
Sembah hormat kepada Tuanku Muhriz melambangkan kedaulatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Sembah hormat kepada Tuanku Muhriz melambangkan kedaulatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

Istiadat Penzahiran Undang Jelebu ke-17 yang berlangsung pada 14 Oktober lalu di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti, memperlihatkan kedudukan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan peranan Undang Yang Empat dalam adat dan institusi beraja negeri itu, kata Edy Noor Reduan.


Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan itu berkata, mungkin ramai terkejut melihat istiadat berkenaan, sedangkan hal itu merupakan antara adat turun-temurun yang terus dipertahankan hingga ke hari ini.


Katanya, istiadat itu mencerminkan adab dan penghormatan terhadap institusi beraja, termasuk amalan memohon sembah ampun serta menzahirkan taat setia kepada Raja dan Sultan.


"Seperti yang kita semua maklum, setiap negeri yang beraja, sebagai tanda adab menghormati, (ia) dizahirkan dengan cara memohon sembah ampun Tuanku, Daulat Tuanku.


"Malah setiap rakyat yang berdepan Yang di-Pertuan Agong juga akan memohon sembah. Inilah adab, inilah adat. Kita orang Melayu.


"Bagi Raja dan Sultan, adat dan istiadat sebegini turut wujud di semua negeri Melayu, cuma setiap negeri mempunyai istiadat, susunan dan gerak-geri tersendiri mengikut adat resam serta tradisi masing-masing," katanya menerusi satu kenyataan.


Kata Edy Noor lagi, perbezaan hanya terletak pada bentuk dan tatacara pelaksanaannya, namun setiap istiadat tetap mencerminkan warisan, daulat dan sejarah institusi beraja yang dipertahankan sejak turun-temurun.


Sebelum ini media melaporkan, Tuanku Muhriz berkenan menzahirkan Datuk Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 yang membawa gelaran Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman.


Istiadat itu juga menzahirkan kedudukan dan kekuasaan Tuanku Muhriz meskipun cuba disingkir dari takhta, terutama dalam percubaan yang melibatkan barisan Exco Kerajaan Negeri BN-PN pada bulan lalu.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page