Piala Badminton Kesatuan Rakyat eratkan perpaduan komuniti DUN Kajang


Penganjuran Piala Kejohanan Badminton “Kesatuan Rakyat” Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di situ menerusi aktiviti sukan yang menggalakkan semangat berpasukan, disiplin dan sikap saling menghormati.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata, kejohanan itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform untuk membina persahabatan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.
"Saya percaya sukan mampu menyatukan komuniti melalui semangat berpasukan, disiplin dan sikap saling menghormati," katanya dalam kenyataan.
Kejohanan sulung anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kajang bersama Night Propa Badminton Club itu berlangsung di Dewan Badminton Persatuan Hokkien, Kajang, baru baru ini.
Sebanyak 12 pasukan membabitkan 84 pemain dari Kajang menyertai kejohanan berkenaan yang diadakan bersempena Sambutan Hari Sukan Negara 2026.
Dalam pertandingan itu, ONxON BC muncul juara, manakala Badminators BC menduduki tempat kedua.
Tempat ketiga menjadi milik Sahabat BC, sementara Rancak BC menamatkan saingan di tempat keempat.

David Cheong turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan berkenaan, termasuk jawatankuasa pengelola, Persatuan Hokkien Kajang, pengadil, petugas paramedik, kakitangan pusat khidmat, pemain dan penyokong.
Beliau turut menyeru semua peserta dan penyokong supaya menjaga kebersihan gelanggang serta kawasan awam, selain mengekalkan semangat kesukanan sepanjang kejohanan.
"Seiring semangat ‘Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku’, saya menyeru peserta dan penyokong supaya menjaga kebersihan gelanggang serta kawasan awam, di samping menjunjung semangat kesukanan," katanya.
Menurut beliau, kemenangan bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan kerana hubungan persahabatan dan perpaduan yang terjalin antara peserta turut membawa makna besar kepada masyarakat.
"Menang atau kalah adalah adat pertandingan, tetapi persahabatan dan perpaduan yang terbina merupakan kejayaan bersama," ujarnya.
Beliau berharap kejohanan itu menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak aktiviti sukan komuniti yang bermanfaat bagi warga Kajang, sekali gus mengukuhkan keharmonian masyarakat setempat.




Comments