NADI bukan sekadar pusat internet, jadi penghubung kerajaan dengan rakyat


Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) perlu diperkasakan bukan sahaja sebagai kemudahan digital, pendidikan dan keusahawanan, malah sebagai penghubung antara dasar kerajaan dengan rakyat bagi memastikan maklumat serta manfaat inisiatif kerajaan sampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Setiausaha Politik Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof berkata kerjasama antara agensi kerajaan, Komuniti MADANI dan pemimpin masyarakat penting bagi memastikan orang ramai mengetahui fungsi serta manfaat yang disediakan oleh NADI.
"NADI merupakan pusat sehenti untuk masyarakat setempat yang menawarkan pelbagai program, termasuk latihan keusahawanan, pendidikan dan bengkel kemahiran bagi memenuhi keperluan komuniti.
"Kerjasama antara agensi kerajaan dan Komuniti MADANI perlu diperkukuh. Komuniti MADANI berperanan menyampaikan dasar serta polisi kerajaan kepada masyarakat.
"Manakala NADI boleh menjadi antara mekanisme untuk menyampaikan maklumat dan manfaatnya kepada rakyat," katanya kepada Suara Keadilan sempena lawatan wakil Menteri Komunikasi ke Pusat NADI Bukit Beruang, Melaka, baru baru ini.
Dalam pada itu Abdullah Izhar menambah, usaha memperluas hebahan mengenai fungsi NADI perlu melibatkan pelbagai pihak di peringkat akar umbi, termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT), jawatankuasa surau, persatuan penduduk dan pihak sekolah.
"Jaringan komuniti berkenaan boleh membantu menyampaikan maklumat melalui kumpulan penduduk, ibu bapa dan saluran komunikasi setempat supaya lebih ramai mengetahui kemudahan yang tersedia.
"NADI turut menyediakan kemudahan secara percuma kepada masyarakat, sekali gus membuka peluang kepada penduduk untuk memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan tanpa dibebani kos," ujarnya lagi.
Justeru, beliau berharap usaha memperkenalkan fungsi dan manfaat NADI dapat diperluas ke seluruh negara, bukan hanya tertumpu di Melaka bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada kemudahan serta program yang disediakan.




Comments