top of page

Jerebu Borneo: ASEAN ambil tindakan segera, tangani krisis alam sekitar

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 17 hours ago
  • 2 min read

ASEAN perlu mengambil tindakan segera dan jangka panjang bagi menangani isu jerebu rentas sempadan di Borneo, termasuk memperkukuh kerjasama antara Kalimantan, Sarawak, Sabah dan Brunei.


Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan berkata, keadaan jerebu yang semakin memburuk di Sarawak sehingga menyebabkan sekolah di beberapa kawasan ditutup pada 20 dan 21 Ogos lalu menunjukkan isu itu bukan lagi sekadar pencemaran udara biasa.


Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) terpaksa mengarahkan sekolah di Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Serian dan Samarahan ditutup sebagai langkah melindungi kesihatan serta keselamatan murid dan warga sekolah.


"Ini bukan lagi sekadar isu pencemaran udara biasa. Ia adalah krisis alam sekitar dan kesihatan awam yang merentasi sempadan negara," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Roland, laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) menunjukkan asap rentas sempadan daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat bergerak ke arah Sarawak.


Sehubungan itu, beliau menyeru jawatankuasa ASEAN yang berkaitan dengan alam sekitar dan pencemaran asap rentas sempadan supaya mengambil tindakan segera, bukan hanya mengadakan mesyuarat apabila jerebu sudah mencapai tahap membimbangkan.

Roland Engan
Roland Engan

"Mekanisme ASEAN berkaitan pencemaran asap rentas sempadan sememangnya telah diwujudkan. Namun, rakyat berhak bertanya mengapa kita masih berdepan masalah yang sama berulang kali?" soalnya.


Beliau menggesa supaya ASEAN mewujudkan sistem amaran awal Borneo yang bersepadu bagi mengesan titik panas, kebakaran hutan dan pergerakan asap secara masa nyata.


Selain itu, katanya, kerjasama langsung antara Kalimantan, Sarawak, Sabah dan Brunei dalam aspek pencegahan serta pemadaman kebakaran perlu diperkukuh, khususnya di kawasan berisiko tinggi.


"Perkongsian data satelit dan maklumat kebakaran secara terbuka (perlu diperhebat) supaya tindakan dapat diambil sebelum asap merentasi sempadan," katanya.


Roland turut menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap pembakaran terbuka dan aktiviti yang menyebabkan kebakaran hutan, termasuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.


Pada masa sama, beliau berkata pelan jangka panjang bagi melindungi hutan, tanah gambut dan ekosistem Borneo perlu diwujudkan kerana pencegahan kebakaran lebih baik daripada hanya bertindak selepas jerebu berlaku.


Beliau turut mencadangkan penubuhan dana bersama ASEAN untuk pencegahan dan tindak balas kecemasan jerebu Borneo, termasuk sokongan kepada komuniti tempatan yang menjadi barisan hadapan menjaga hutan.


Roland berkata penduduk Kalimantan, Sarawak, Sabah dan Brunei perlu bersama-sama menuntut tindakan lebih serius terhadap isu alam sekitar di Borneo.


"Kita mungkin dipisahkan oleh sempadan politik dan pentadbiran, tetapi kita berkongsi hutan, sungai, udara, biodiversiti dan ekosistem yang sama," katanya.


Menurut beliau, kebakaran hutan di Kalimantan boleh menyebabkan asap sampai ke Sarawak dan Brunei, manakala kerosakan alam sekitar di mana-mana bahagian Borneo akhirnya memberi kesan kepada seluruh penduduk pulau berkenaan.


Beliau juga berkata, Borneo tidak boleh terus menjadi mangsa kelemahan penguatkuasaan, pembakaran terbuka, kemusnahan hutan dan pengurusan alam sekitar yang tidak mampan.


Justeru, Roland menyeru Kerajaan Malaysia, Kerajaan Sarawak, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Brunei memperkukuh kerjasama dengan Indonesia melalui mekanisme ASEAN serta membangunkan Agenda Alam Sekitar Borneo Bersama yang lebih konkrit, berterusan dan boleh diukur.


"Jangan tunggu sekolah ditutup lebih banyak. Jangan tunggu kesihatan rakyat terjejas lebih serius. Jangan tunggu hutan kita musnah sebelum kita bertindak.


"Borneo milik kita bersama. Alam sekitar Borneo tanggungjawab kita bersama. Udara bersih adalah hak kita bersama," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page