top of page

Mahfuz cabar Hj Hadi jelaskan pendirian Pas dalam krisis takhta N Sembilan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
10 minutes ago
2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar mencabar Presiden Pas, Hj Hadi Awang menjelaskan pendirian parti itu berhubung krisis institusi diraja Negeri Sembilan sebelum mendakwa ada penglibatan 'tangan yang nampak terang' seolah olah menunding Kerajaan MADANI mencampuri urusan negeri.


Beliau mempersoalkan konsistensi pendirian Hadi yang lantang membangkitkan isu perlembagaan di peringkat Persekutuan, sedangkan tindakan Kerajaan Negeri yang turut dianggotai Pas berkaitan proklamasi yang bertujuan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menimbulkan persoalan.


Menurut Mahfuz, Menteri Besar Negeri Sembilan dan anggota Exco Kerajaan Negeri sebelum ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz, justeru prinsip kesetiaan kepada sistem pemerintahan berperlembagaan perlu dipertahankan secara konsisten.


Beliau menegaskan sumpah jawatan bukan sekadar upacara rasmi, sebaliknya membawa amanah yang perlu dipertanggungjawabkan.


"Mereka mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz. Kemudian, timbul tindakan mempertikaikan kedudukan baginda


"Sumpah jawatan bukan sekadar upacara di hadapan raja. Ia membawa amanah yang mesti dipertanggungjawabkan.


"Nak bagi tau Pak Haji bahawa sumpah bukan daun pisang bungkus nasi dagang yang boleh dibuang selepas digunakan. Jawatan mungkin diperoleh melalui pelantikan, tetapi amanah tidak boleh diperlakukan sesuka hati mengikut percaturan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dipaksa tandatangan


Dalam kenyataan sama, Mahfuz turut membangkitkan dakwaan Menteri Besar bahawa beliau dipaksa menandatangani proklamasi berkaitan penurunan Tuanku Muhriz serta membuat laporan polis berhubung perkara itu.


Beliau berkata dakwaan berkenaan perlu disiasat secara telus, termasuk mengenal pasti sama ada paksaan benar-benar berlaku, pihak yang didakwa terlibat dan hasil siasatan pihak berkuasa.


Bagaimanapun, Mahfuz mengingatkan bahawa dakwaan paksaan itu sendiri belum membuktikan pihak yang bertanggungjawab atau pengetahuan semua pihak yang kemudiannya menyokong keputusan berkenaan.


"Jika benar seorang Menteri Besar mendakwa dirinya dipaksa menandatangani dokumen penting, perkara itu perlu disiasat secara telus," katanya.


Mahfuz turut meminta Hj Hadi menjelaskan sama ada beliau menyokong keputusan Kerajaan Negeri berkaitan proklamasi itu atau menggunakan krisis berkenaan untuk menyerang Kerajaan MADANI.


Beliau juga mempersoalkan pendirian wakil Pas yang menganggotai Exco Kerajaan Negeri ketika keputusan berkaitan proklamasi tersebut dibuat, termasuk asas undang-undang yang digunakan dan sama ada mereka meneliti peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.


"Jika Pas turut menyokong keputusan Exco, Pak Haji perlu menjelaskan pendirian parti Pak Haji.


"Apakah alasan undang-undang yang mereka gunakan? Adakah mereka meneliti kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan? Apakah pendirian Pas selepas pihak berkuasa undang-undang mempertikaikan kesahan proklamasi tersebut?" soalnya.


Mahfuz menegaskan isu berkenaan perlu dijawab berdasarkan fakta, dokumen dan undang-undang, bukannya melalui tuduhan politik terhadap pihak lawan.


Beliau berkata mana-mana pihak yang mendakwa berlaku pencabulan Perlembagaan perlu mengemukakan bukti khusus serta menyatakan peruntukan yang didakwa dilanggar.


"Perlembagaan bukan milik Pas, bukan milik PH dan bukan milik BN. Perlembagaan ialah asas pemerintahan negara yang wajib dihormati oleh semua pihak, termasuk mereka yang paling lantang mendakwa dirinya sebagai pembelanya," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page