top of page

LRT Laluan Mutiara: Lima stesen bakal beri manfaat kepada penduduk Batu Uban

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Kumaresan (tiga dari kiri) bersama Ketua Menteri P Pinang menghadiri Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur
Kumaresan (tiga dari kiri) bersama Ketua Menteri P Pinang menghadiri Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur

Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang bakal meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan penduduk, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan berkata, lima stesen yang dirancang di kawasan berkenaan ialah Sungai Nibong, Bukit Jambul, Sungai Dua, Batu Uban dan Jalan Universiti (USM).


Menurutnya, kewujudan stesen berkenaan akan memudahkan penduduk berulang-alik ke tempat kerja dan mengakses destinasi utama di seluruh Pulau Pinang.


"Stesen-stesen ini akan memudahkan penduduk berulang-alik ke tempat kerja dan ke destinasi utama di seluruh Pulau Pinang, selain membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian," katanya dalam satu kenyataan.


Kumaresan berkata demikian selepas menghadiri Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur baru baru ini, atas jemputan MRT Corp untuk mengunjungi rerai syarikat itu.


Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN turut mengiringi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menghadiri ekspo berkenaan dan mengunjungi rerai MRT Corp.


Menurut Kumaresan, projek LRT Laluan Mutiara bukan sahaja akan menyokong pertumbuhan Pulau Pinang pada masa hadapan, malah dijangka membawa manfaat kepada penduduk menerusi peningkatan akses kepada pengangkutan awam.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas sokongan terhadap pelaksanaan projek bernilai RM16.8 bilion itu selepas hampir dua dekad Pulau Pinang menjadi negeri pembangkang dan dinafikan projek mega oleh kerajaan BN sebelum ini.


"Projek penting ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan Kerajaan Persekutuan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas komitmen menjayakan projek bernilai RM16.8 bilion ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page